99 aduan harga makanan diterima

Salahuddin (dua dari kiri) melawat tapak jualan selepas menyempurnakan Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Kebangsaan di Bazar Ramadan Rahmah Presint 14 pada Isnin. - Foto Bernama
Salahuddin (dua dari kiri) melawat tapak jualan selepas menyempurnakan Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Kebangsaan di Bazar Ramadan Rahmah Presint 14 pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) menerima 99 aduan berkaitan harga makanan yang dijual di bazar Ramadan seluruh negara selepas lima hari umat Islam berpuasa.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pegawai dan penguat kuasa KPDN akan sentiasa memantau harga serta mengambil pendekatan memberi nasihat kepada peniaga.

"Bukan denda, rampas...Bukan. Kita akan menasihati agar tidak mengulanginya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Kebangsaan di Presint 14, di sini pada Isnin.

Menurutnya, nasi ayam berempah yang tular dijual pada harga RM15 sebungkus adalah merupakan kes terpencil.

"Apabila pegawai pergi membuat semakan, gerai tersebut tidak lagi dibuka," katanya.

Beliau berkata, harga patut bagi nasi dengan ayam serta sayur adalah paling tinggi RM9 sebungkus.

"Tetapi kalau harga RM15, itu tidak berpatutan," katanya.

Sabtu lalu, tular mengenai nasi ayam berempah yang dijual pada harga tidak masuk akal kerana ayam berempah tersebut bukan bersaiz besar sementara begedilnya cuma besar sedikit daripada duit syiling 50 sen lama serta tempe pula panjangnya tidak sampai sejengkal.

Lazimnya sebelum ini lauk ayam menjadi lauk pilihan majoriti rakyat marhaen kerana harganya lebih murah.

Sementara itu, mengulas mengenai BRR, Salahuddin berkata, ia merupakan inisiatif terbaru kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga murah serta berpatutan.

Inisiatif BRR ini dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara KPDN dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tanpa melibatkan sebarang implikasi kos.

Sehingga kini, sebanyak 38 lokasi sedang melaksanakan BRR di seluruh negara termasuklah satu BRR yang dilaksanakan bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam menyantuni rakyat di sekitar wilayah itu sepanjang Ramadan.

Dalam pada itu, Salahuddin meminta orang awam memaklumkan kepada KPDN sekiranya berlaku kekurangan bekalan telur di pasaran.

"Setakat ini bekalan stabil, kalau ada ia kes terpencil di kawasan tertentu.

"Cepat beritahu kita agar boleh bertindak," katanya.