Iklan Saji ajak kenal erti ihsan, hormat antara kaum

Pak cik menawarkan makanan kepada dua wanita ketika menunggu mekanik di pekarangan masjid.
Pak cik menawarkan makanan kepada dua wanita ketika menunggu mekanik di pekarangan masjid.
A
A
A

SHAH ALAM - Sempena bulan Ramadan, FGV Holdings Bhd (FGV) menerusi jenama minyak masak Saji mempersembahkan sebuah iklan komersial yang mengajak orang ramai mengenal erti ihsan serta hormat menghormati antara kaum di negara ini.

Iklan yang bertemakan 'Sabar' itu menampilkan pelakon dan penyanyi terkenal, Datuk Awie turut mengupas mengenai pengertian sikap sabar terutama ketika orang lain ditimpa ujian dan kesusahan.

Diilhamkan daripada kisah benar, pak cik (Awie) dilihat dengan tenang membantu dua wanita bukan Islam dengan menolak kereta mereka yang rosak di persimpangan lampu isyarat bagi memberi laluan kepada kenderaan lain melalui jalan tersebut.

Pak cik (Awie) bersama qariah masjid bantu menolak kenderaan wanita yang rosak dipersimpangan lampu isyarat.
Pak cik (Awie) bersama qariah masjid bantu menolak kenderaan wanita yang rosak dipersimpangan lampu isyarat.

Pak cik turut memberi peringatan kepada seorang lelaki Islam yang memandu kenderaan di belakang kereta rosak itu untuk bersabar dan menahan diri daripada berterusan melaungkan perkataan provokasi terhadap wanita berkenaan.

Uniknya lagi, iklan ini turut mengajak orang ramai untuk bersikap ihsan terhadap kaum lain dengan menyediakan keperluan makan dan minum walaupun di bulan Ramadan.

Selain itu, sikap menghormati agama kaum juga ditonjolkan terutama ketika berada di rumah ibadah seperti masjid apabila dua wanita berkenaan mengenakan tudung sebagai menutup aurat.

Iklan berdurasi tiga minit 48 saat itu ditayangkan menerusi aplikasi YouTube 'Saji Malaysia Official' dan Facebook Saji Malaysia bermula 23 Mac.