Penyertaan KJ beri kelebihan kepada PN - Muhammad Sanusi

Muhammad Sanusi (kiri) dan Tuan Ibrahim pada sidang akhbar sempena Iftar Ramadan Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria anjuran PasRelief pada Sabtu.
Muhammad Sanusi (kiri) dan Tuan Ibrahim pada sidang akhbar sempena Iftar Ramadan Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria anjuran PasRelief pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyertaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Perikatan Nasional (PN) diyakini mampu memberi kelebihan kepada gabungan parti itu untuk berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini belum ada pengesahan bahawa bekas Menteri Kesihatan itu akan menyertai parti berkenaan.

"Itu hanya spekulasi lagi tapi insya-ALLAH kalau beliau masuk (PN), ia satu kelebihan untuk kita," katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa Khairy akan menyertai PN selepas dipecat daripada UMNO baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Iftar Ramadan Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria anjuran PasRelief di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi (tengah), Tuan Ibrahim (dua, kanan) dan tiga lagi pemimpin Pas menunjukkan buku Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria yang digerakkan PasRelief.
Muhammad Sanusi (tengah), Tuan Ibrahim (dua, kanan) dan tiga lagi pemimpin Pas menunjukkan buku Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria yang digerakkan PasRelief.

Turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PasRelief menyasarkan menyalurkan bantuan 100 buah rumah kontena bernilai RM3 juta kepada mangsa bencana gempa bumi di Turkiye menerusi kempen #Aid4Turkiye&Syria.

Katanya, setiap rumah kontena tersebut bernilai RM30,000 yang turut dilengkapi tandas dan bakal memberi lebih keselesaan kepada mangsa terlibat.

"Kita yakin boleh kumpul dana yang cukup untuk membiayai 100 rumah kontena ini jika 6,514 masjid seluruh negara boleh menyumbang.

"Sekarang di Turkiye dan Syria musim sejuk, mangsa masih tinggal dalam khemah dan tandas pula berada di luar jadi tidak selesa bagi mereka.

"Jika ada rumah kontena, ia bakal memberi keselesaan dalam tempoh yang panjang buat mereka," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!