RNF MotoGP Racing Team taja Hakim Danish, Danial Syahmi

Razlan (tengah) bersama Hakim Danish (kiri) dan Danial Syahmi. - Foto FB ZK Racing
Razlan (tengah) bersama Hakim Danish (kiri) dan Danial Syahmi. - Foto FB ZK Racing
A
A
A

RNF MotoGP Racing Team akan menjadi penaja bagi pelumba muda ZK Racing, Muhammad Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Ahmad Shahril yang membuat penampilan di pentas Red Bull MotoGP Rookies Cup bermula 25 Mac hingga 10 September ini.

ZK Racing menerusi kenyataan memaklumkan penajaan menerusi prinsipal pasukan RNF MotoGP Racing Team, Datuk Razlan Razali itu merangkumi perbelanjaan perjalanan dan perkhidmatan hospitaliti di seluruh Eropah bagi musim ini.

"Pusingan itu akan bermula hujung minggu ini, Razlan sentiasa berdedikasi daripada permulaan Program Road To MotoGP di Malaysia dan telah memberi sokongan kepada Hakim Danish dan Danial Syahmi sejak awal karier mereka," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Danial Syahmi, 21, berkata, tajaan berkenaan membantu dalam perjalanan kariernya selain bersedia memberikan yang terbaik dalam perlumbaan musim ini.

"Saya akan memastikan diri saya kekal berdaya saing dalam kejuaraan ini," katanya.

Hakim Danish, 16, pula menjanjikan prestasi yang kompetitif bagi musim pertamanya dalam kejohanan berkenaan.

Red Bull MotoGP Rookies Cup ialah siri perlumbaan motosikal yang dipertandingkan bagi penunggang muda tidak berpengalaman dalam Grand Prix motosikal. - Bernama