Paip pecah: 55 kawasan alami gangguan bekalan air

Sebanyak 55 kawasan di Shah Alam dan Klang mengalami gangguan bekalan air akibat paip pecah. - Gambar hiasan
Sebanyak 55 kawasan di Shah Alam dan Klang mengalami gangguan bekalan air akibat paip pecah. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Sebanyak 55 kawasan di Shah Alam dan Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan pelaksanaan kerja pembaikan paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan gangguan di semua kawasan itu bermula jam 10 malam pada Jumaat dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya jam 6 pagi Sabtu.

“Bekalan air akan disalurkan secara berperingkat selepas kerja itu siap dan menstabilkan sistem bekalan,” kata kenyataan di laman Facebook agensi berkenaan pada Jumaat.

Antara kawasan terjejas ialah kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Perdana Industrial Park, kawasan Perindustrian Bukit Raja Selatan dan Selat Klang Utara serta Klang Utama.

Turut terjejas Kota Pendamar, Laguna Park, Pelabuhan Utara, Pulau Ketam, Sementa dan Seksyen 32, Bandar Botanik, Bandar Bukit Tinggi 1, Bandar Parkland, Kampung Pulau Indah, Bandar Sultan Suleiman dan Kampung Teluk Gong

Air Selangor turut memaklumkan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai gangguan itu menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor atau menghubungi talian 15300.