Bazar Ramadan Rahmah belum dapat sambutan

Keadaan bazar Ramadan Rahmah di People's Park yang lengang ketika tinjauan dilakukan sekitar jam 6 petang. (Gambar kecil: Yusuf, Muhammad Saifullah, Muhammad Haffis)
Keadaan bazar Ramadan Rahmah di People's Park yang lengang ketika tinjauan dilakukan sekitar jam 6 petang. (Gambar kecil: Yusuf, Muhammad Saifullah, Muhammad Haffis)
A
A
A

IPOH - Bazar Ramadan Rahmah di Taman Persisiran Ipoh Riverfront atau dikenali People's Park di sini belum mendapat sambutan apabila hari pertama dan kedua operasi hanya dikunjungi tidak sampai 50 orang.

Tapak yang menempatkan hampir 30 peniaga itu sunyi sepi berbanding lokasi bazar Ramadan lain ketika tinjauan dilakukan Sinar Harian sekitar jam 6 petang pada Jumaat.

Peniaga nasi berlauk, Yusuf Mohd, 37, berkata, antara punca kurang sambutan kerana masih ramai tidak mengetahui kewujudan bazar Ramadan di situ.

Menurutnya, kawasan itu lebih dikenali sebagai tapak niaga bagi night market pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

"Ini pertama kali operasi bazar Ramadan di sini, mungkin sebab itu orang tak tahu dan tidak datang.

"Dua hari ini pengunjung memang tak ramai, lauk-lauk disediakan terjual sedikit sahaja, banyak tak habis," katanya yang menyediakan nasi bersama ayam dan sayur pada harga RM5.

Penjual roti john, Izzati Azhar, 25, berpendapat, perlu lebih banyak promosi dan hebahan dilakukan terhadap bazar Ramadan Rahmah bagi menarik kehadiran orang ramai.

Izzati (dua dari kiri) menunjukkan jualan roti khurasan dan roti john di bazar Ramadan Rahmah di People's Park ketika tinjauan pada Jumaat.
Izzati (dua dari kiri) menunjukkan jualan roti khurasan dan roti john di bazar Ramadan Rahmah di People's Park ketika tinjauan pada Jumaat.

Katanya, situasi itu bukan sahaja dapat membantu peniaga, malah pilihan kepada pengunjung untuk mendapatkan makanan pada harga murah.

"Menu dijual semuanya di bawah RM5, tetapi mereka yang datang tak sampai pun 50 orang, kebanyakan yang membeli pun hanya yang kebetulan lalu di sini," katanya yang turut menjual roti khurasan inti daging dan ayam pada harga RM4.

Muhammad Haffis Roslan, 34, yang menjual pelbagai jenis air minuman berharap pada minggu seterusnya, sambutan bazar di situ bertambah meriah.

"Pembeli yang datang, mereka kurang tahu adanya bazar Ramadan Rahmah di sini. Ada dah buat promosi di media sosial tetapi nampaknya belum dapat sambutan," ujarnya.

Muhammad Saifullah Muhammad Nasrun, 25, yang pertama kali menyertai jualan di bazar Ramadan menganggap inisiatif yang digerakkan kerajaan itu sangat membantu peniaga kecil sepertinya.

Katanya, menerusi inisiatif itu, mereka tidak dikenakan bayaran sewa tapak seperti lokasi bazar yang lain.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang, kita sebagai peniaga adalah pilihan lain selain tapak bazar sedia ada," katanya.