Tiada lagi monopoli Puspakom

Anthony Loke Siew Fook (tengah) pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada Jumaat.
Anthony Loke Siew Fook (tengah) pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak lagi memonopoli perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor selepas konsesinya tamat 31 Ogos depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mesyuarat jemaah menteri pada 17 Mac lalu memutuskan agar perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

"Ketetapan ini bermakna Puspakom tidak lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 September 2024," katanya menerusi sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, proses pelawaan pihak-pihak yang berminat dalam perkhidmatan ini dijangka bermula selewat-lewatnya pada suku pertama tahun depan.

"Kementerian bersama JPJ akan membangunkan syarat-syarat kelayakan, peraturan pengoperasian, skop perkhidmatan, penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan bagi pihak yang berminat," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan keseragaman peraturan dan keadilan dalam aspek persaingan, pihak berminat akan diwajibkan untuk memenuhi semua syarat dan peraturan sama yang telah dikenakan kepada Puspakom di bawah Perjanjian Konsesi.

"Ini termasuklah mewajibkan untuk melantik pekerja yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan sahaja serta menyedia dan menggunakan peralatan pemeriksaan berkomputer yang dikawal selia dan diluluskan oleh JPJ," katanya.

Ujar Anthony, fi pemeriksaan hanya boleh dikenakan mengikut kadar ditetapkan selain tidak dibenarkan sama sekali menawarkan perkhidmatan pembaikan atau ubah suai kenderaan serta penjualan alat ganti.

Tegas beliau, JPJ akan secara berterusan melakukan audit dan memantau semua pihak yang menyediakan perkhidmatan tersebut bagi memastikan pematuhan, kualiti dan integriti pemeriksaan.

"Mana-mana pihak yang didapati melanggar apa-apa syarat ditetapkan boleh dikenakan penalti atau kebenaran menjalankan pemeriksaan akan dibatalkan," katanya.

Mengenai Perjanjian Konsesi Puspakom semasa yang pernah dilanjutkan selama 15 tahun pada tahun 2009, jemaah menteri telah bersetuju untuk melanjutkan perjanjian tersebut untuk tempoh yang sama, berkuatkuasa 1 September 2024 dengan penambahbaikan terma-terma perjanjian sedia ada.

"Keputusan ini mengambil kira bahawa Puspakom telah menjalankan fungsi pemeriksaan terlibat bagi pihak JPJ dengan baik dan memenuhi tahap perkhidmatan yang ditetapkan," katanya.

Bagaimanapun, Puspakom telah diminta untuk melaksanakan beberapa penambahanbaikan antaranya menambah baik proses penempahan dan aduan pelanggan selain memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di semua pusat pemeriksaan.

Sementara itu ditanya adakah akan ada beberapa atau lebih dari dua pengendali perkhidmatan itu, Anthony berkata, ia belum ditetapkan.

"Selepas konsesi ini tamat tiada lagi monopoli, boleh jadi ada dua atau lebih syarikat," katanya.