Ceramah di media sosial tarik Siti Hawa peluk Islam

Siti Hawa (kanan) mendapat bimbingan daripada Mudirah PPI Kok Lanas, Tuan Nur Asma Syakilla Tuan Ibrahim. (Gambar kecil: Siti Hawa)
Siti Hawa (kanan) mendapat bimbingan daripada Mudirah PPI Kok Lanas, Tuan Nur Asma Syakilla Tuan Ibrahim. (Gambar kecil: Siti Hawa)
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Persepsi buruk terhadap Islam membuatkan seorang wanita Orang Asli keturunan Temiar ingin mengetahui kebenaran perkara tersebut dengan menonton ceramah-ceramah mengenai Islam di media sosial.

Bagaimanapun, selepas menonton beberapa ceramah daripada penceramah bebas, hati Siti Hawa, 19, kata-kata indah penceramah berkenaan mengenai Islam menjentik pintu hatinya.

"Saya tidak kenal mereka tetapi setiap kali muncul di media sosial, saya akan melihat dan menghayatinya," katanya ketika ditemui di Pondok Pengajian Islam (PPI) di Kok Lanas di sini pada Jumaat.

PPI menempatkan anak-anak Orang Asli yang mendalami ilmu asas agama Islam.

Siti Hawa berkata, kini antara pendakwah bebas yang diminatinya ialah Ebit Lew dan Prof Dr Abdul Somad Batubara.

Menurut Siti Hawa, niatnya untuk memeluk Islam semakin kuat apabila dia bermimpi dibelit dan dipatuk ular besar.

Tidak puas hati dengan mimpi yang membawa kesan mendalam itu, Siti Hawa cuba mencari maksudnya dan dimaklumkan ia antara seksa kubur terhadap mereka yang melakukan dosa.

Katanya, selepas beberapa lama berfikir dan berdoa, dia kemudiannya mengambil keputusan mengucap syahadah di hadapan seorang pegawai agama Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) awal Februari lalu di kampungnya, Pos Pasik, Gua Musang.

"Ahli keluarga pada mulanya menghalang niat saya untuk memeluk Islam tetapi sebulan kemudian mereka bersetuju termasuk ibu kerana saya tidak pernah penat memujuknya," katanya.

Anak kelima daripada lapan beradik itu juga mengakui hatinya meruntun apabila mendengar ayat-ayat suci al-Quran dan mahu mempelajarinya.

Siti Hawa yang dibesarkan dalam keluarga beragama Kristian itu menjelaskan, kini dia sudah boleh membaca surah-surah pendek dan mahu mendalami lebih banyak lagi ayat al-Quran.

Ketika ditanya mengenai puasa Ramadan, Siti Hawa berkata, akan berusaha berpuasa penuh walaupun sebelum ini tidak pernah melakukannya.

"Ramadan tahun ini penuh bermakna bagi saya dan insya-ALLAH saya akan berpuasa penuh," katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Tengku Bendahara Gua Musang itu memberitahu, dia membuat pilihan untuk mendalami Islam di PPI selepas tamat belajar.

"Saya harap diberi kekuatan untuk belajar lebih banyak mengenai Islam selain boleh mendalami al-Quran dengan lebih baik," katanya.