Lebih 50 khemah rosak akibat hujan lebat, ribut

Keadaan khemah yang rosak di bazar Ramadan berhadapan pasar raya Lotus pada petang Khamis.
Keadaan khemah yang rosak di bazar Ramadan berhadapan pasar raya Lotus pada petang Khamis.
A
A
A

NILAI - Hujan lebat berserta angin kencang telah menyebabkan lebih 50 buah khemah peniaga di bazar Ramadan di sini rosak pada Khamis.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu melibatkan 17 khemah di bazar Ramadan berhadapan pasar raya Lotus dan 35 khemah bersebelahan McDonald's lama Bandar Baru Nilai.

Menurut salah seorang penganjur bazar Ramadan, Syed Alwi Syed Jaafar, 42, kejadian itu mengakibatkan penganjur terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM4,000 apabila 17 buah khemah telah rosak.

"Sudah tiga tahun Surau Sayyidina Ali Taman Semarak Nilai jadi penganjur bazar dan ini merupakan kali kedua kami diuji dengan kejadian begini.

"Jika tahun lalu peniaga diuji seminggu sebelum Aidilfitri tetapi kali ini pada hari pertama Ramadan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan walaupun ketika itu kebanyakan peniaga sudah berada di lokasi untuk bersiap sedia memulakan perniagaan.

Dia yang ketika kejadian berada di lokasi berkata, terpaksa menahan kaki khemah kerana angin terlalu kuat dan agak menakutkan.

"Syukurlah hujan lebat berserta ribut itu hanya berlaku lebih kurang setengah jam dan selepas itu para peniaga meneruskan operasi perniagaan mereka.

"Ia ujian buat kami sebagai penganjur kerana tahun ini pertama kali kami sediakan khemah, tapi daripada 72 khemah, 17 telah rosak," katanya.

Jelas Syed Alwi, kesedihan mereka menghadapi ujian itu terubat apabila melihat kehadiran pengunjung yang agak ramai pada hari pertama Ramadan.