'Pengisytiharan perang' dengan Rusia jika tangkap Putin

Medvedev merupakan sekutu kepada Putin dan pernah berkhidmat sebagai Presiden Rusia antara 2008 dan 2012. - Foto Agensi
Medvedev merupakan sekutu kepada Putin dan pernah berkhidmat sebagai Presiden Rusia antara 2008 dan 2012. - Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - 'Sebarang cubaan untuk memberkas Vladimir Putin di luar negara dianggap sebagai pengisytiharan perang'.

Amaran tegas itu diberikan bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev yang berkhidmat antara 2008 dan 2012 selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Putin atas dakwaan melakukan jenayah perang.

"Senjata milik Moscow akan menyasarkan mana-mana negara yang tangkap beliau. Sebagai contoh, jika Jerman yang berbuat demikian. Segala senjata termasuk roket akan dilancarkan ke atas Parlimen Persekutuan (Bundestag) dan pejabat canselor," katanya.

Medvedev yang memegang jawatan Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia menyifatkan keputusan yang mengaitkan Putin dengan tindakan mendeportasi kanak-kanak Ukraine secara haram hanya memburukkan lagi konflik antara Moscow dan Barat.

Kenyataan lantang itu dikeluarkan beliau, dua hari selepas Kremlin membuka siasatan jenayah ke atas pendakwa raya ICC, Karim Khan dan beberapa hakim tribunal antarabangsa tersebut setelah keputusan dibuat mereka didakwa melanggar undang-undang.

Waran tangkap sama turut dikeluarkan ke atas Pesuruhjaya Presiden untuk Hak Asasi Kanak-kanak, Maria Lvova-Belova.

Pada Rabu, badan perundangan ICC yang berpusat di The Hague menzahirkan rasa kesal terhadap 'ancaman' yang diterima daripada sekutu Putin yang disifatkan sebagai cubaan untuk menghalang usaha antarabangsa bagi memastikan akauntabiliti terhadap tindakan yang dilarang di bawah undang-undang am antarabangsa. - AFP