Khemah bazar Aidilfitri diterbangkan ribut, pokok tumbang

Anggota APM Kubang Pasu membersihkan bumbung diterbangkan angin hingga menutup jalan di jalan utama Jitra-Changlun pada Khamis.
Anggota APM Kubang Pasu membersihkan bumbung diterbangkan angin hingga menutup jalan di jalan utama Jitra-Changlun pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Hujan dan ribut kencang menumbangkan pokok dan khemah diterbangkan di beberapa lokasi di Pekan Jitra dan kawasan berhampiran pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, difahamkan sejumlah khemah gerai buah-buahan telah diterbangkan angin kencang ke jalan raya mengakibatkan laluan terhalang.

Selain itu, kejadian pokok tumbang turut dilaporkan di beberapa kawasan hingga menutup laluan.

Terdapat juga khemah bazar Aidilfitri berhampiran sebuah pasar raya besar yang terjejas dalam insiden tersebut.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jitra membersihkan pokok tumbang di kawasan Pekan Jitra, pada Khamis.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jitra membersihkan pokok tumbang di kawasan Pekan Jitra, pada Khamis.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, hujan dan ribut telah berlaku di Pekan Jitra pada jam 3 petang.

"Hujan dan angin kuat tersebut telah mengakibatkan pokok tumbang dan khemah jualan di bahu jalan diterbangkan angin lalu menutup jalan utama Jitra-Changlun.

"Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menerima laporan kejadian bencana ribut pada jam 3.05 petang daripada orang awam dan MERS999," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kubang Pasu kemudiannya melakukan kerja membersihkan pokok tumbang serta membantu membersihkan jalan utama itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya ada menerima laporan pokok tumbang hingga menghalang laluan di hadapan sebuah kedai di Pekan Jitra akibat cuaca hujan dan ribut itu.

"Susulan itu, sepasukan 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra telah diarahkan ke lokasi kejadian bersama beberapa jentera.

"Anggota bertindak dengan memotong pokok berkenaan dengan gergaji berantai bagi membuka jalan," katanya.