Polis rampas mercun, bunga api bernilai RM70,000

Yusharifuddin (tiga dari kanan) menunjukkan mercun dan bunga api dirampas dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar.
Yusharifuddin (tiga dari kanan) menunjukkan mercun dan bunga api dirampas dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar.
A
A
A

KANGAR - Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih RM70,000 dipercayai untuk jualan sempena Aidilfitri dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Bukit Lagi, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, seorang lelaki berusia 54 tahun turut ditahan dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar itu.

Beliau berkata, serbuan yang dijalankan pada jam 5 petang itu telah membawa kepada penemuan 36 kotak besar yang mengandungi mercun dan bunga api pelbagai jenis.

"(Kita) menjumpai 36 kotak besar yang dalamnya mengandungi 1,560 kotak kecil, 140 bungkusan besar dan kecil serta lima belas ikatan mercun dan bunga api pelbagai jenis yang disyaki akan dipasarkan di sekitar Perlis sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

"(Susulan itu) tangkapan seorang lelaki tempatan umur 54 tahun (dilakukan) kerana menyimpan barangan tersebut di dalam premis tanpa permit yang sah,"katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada Khamis.

Pelbagai mercun dan bunga api dirampas dalam serbuan di di sebuah premis di Jalan Bukit Lagi.
Pelbagai mercun dan bunga api dirampas dalam serbuan di di sebuah premis di Jalan Bukit Lagi.

Beliau memaklumkan, lelaki itu ditahan atas kesalahan menyimpan barangan terbabit di dalam premis berkenaan tanpa permit membeli, menjual dan menyimpan yang sah.

Yusharifuddin berkata, suspek direman sehingga Jumaat bagi membolehkan siasatan dijalankan secara terperinci mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau memberitahu, pihaknya merampas rokok seludup bernilai lebih RM100,000 dalam serbuan di sebuah kedai runcit Kampung Padang Behor melalui Op Kontraban pada Isnin.

Yusharifuddin berkata, hasil pemeriksaan awal membawa kepada penemuan 49 karton rokok pelbagai jenis disyaki tiada duti kastam.

Beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 57 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual rokok berkenaan.

Menurutnya, suspek kemudiannya membawa pasukan serbuan ke sebuah rumah di Taman Sentosa, Kuala Perlis sebelum membawa kepada penemuan 473 lagi kotak rokok pelbagai jenis disyaki turut tiada duti kastam.

"Hasil semakan lanjut, suspek didapati mempunyai rekod lampau melibatkan kes pecah rumah dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan kini ditahan serta disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1957," katanya.