[VIDEO] Nasi Kandar Rahmah RM5 dijual dengan niat sedekah

Syahril Huda menunjukkan Nasi Kandar Rahmah RM5 yang dijual digerainya di Taman Nyior, Seremban.
Syahril Huda menunjukkan Nasi Kandar Rahmah RM5 yang dijual digerainya di Taman Nyior, Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Bersandarkan kepada niat mahu bersedekah mendorong pasangan suami isteri, Syahril Huda Shamsudin, 44, dan Anisa Non, 49, menawarkan Nasi Kandar Rahmah berharga RM5 sepanjang Ramadan di gerainya di Taman Nyior di sini.

Menurutnya, dia menyasarkan lebih 100 bungkus set nasi sehari akan terjual di gerainya yang dibuka seawal jam 3.30 petang.

"Biasanya harga untuk set nasi kandar yang ada sayur dengan pilihan daging masak hitam atau ayam rempah dijual RM8 ke atas.

"Tapi sepanjang Ramadan ini saya jual dengan harga RM5 saja kerana niat saya mahu beramal dan membantu kerana bukan semua orang mampu makan nasi kandar," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Selain Menu Rahmah, Syahril Huda turut menjual kari kepala ikan, asam pedas, masak lemak cili api, sotong buncit dan daging bakar.
Selain Menu Rahmah, Syahril Huda turut menjual kari kepala ikan, asam pedas, masak lemak cili api, sotong buncit dan daging bakar.



Menurutnya, setiap hari dia akan menyediakan lebih 10 ekor ayam dan 10 kilogram daging untuk menyediakan Menu Rahmah.

Syahril Huda yang sudah berniaga lapan tahun mengakui tidak terlalu mengambil kira perihal keuntungan namun berasa senang hati dapat meringankan beban masyarakat dengan hidangan Menu Rahmah.

Bagaimanapun katanya, dia mengakui harga barang mentah yang meningkat hari ini menyebabkan peniaga terpaksa berfikir dua kali untuk menyediakan Menu Rahmah.

"Sekarang ini harga ayam memang tak menentu, ia turun naik. Kalau hari ini saya beli RM8.90, esok boleh jadi RM9 dan naik lagi kepada RM9.30

"Keadaan itu menyebabkan peniaga susah nak buat pengiraan bajet. Bagi saya mungkin itu faktor kalau peniaga susah nak tawar menu tersebut," katanya.

Selain Menu Rahmah, gerai Syahril Huda turut menjual kari kepala ikan, asam pedas, masak lemak cili api, sotong buncit dan daging bakar.