KAST2.0: 52 imam terajui khatam al-Quran solat tarawih

Asmadi (empat kanan) menyerahkan replika cek kepada Pertubuhan Sahabat Huffaz Pahang bagi tujuan pengurusan program KAST2.0 sebanyak RM20,000 di Masjid UniPSAS.
Asmadi (empat kanan) menyerahkan replika cek kepada Pertubuhan Sahabat Huffaz Pahang bagi tujuan pengurusan program KAST2.0 sebanyak RM20,000 di Masjid UniPSAS.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 52 imam akan menerajui 30 juzuk al-Quran dalam solat sunat Tarawih melalui Program Khatam al-Quran sepanjang Tarawih (KAST2.0) bermula pada malam Rabu.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Abdul Zaki Mohd Zain berkata, program kali kedua diadakan itu melibatkan tiga masjid terpilih di negeri ini dengan mengalunkan bacaan satu juzuk al-Quran pada setiap malam.

"10 malam pertama kita adakan program ini di Masjid Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), seterusnya di Masjid Sultan Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Masjid Al Hidayah pula pada 10 malam terakhir.

"Jadi, setiap satu juzuk al-Quran akan dibaca oleh dua imam untuk satu malam sepanjang solat sunat tarawih berlangsung," katanya.

Sebelum itu, beliau merasmikan program itu di Masjid UnIPSAS yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman.

Turut diadakan gimik penyerahan sumbangan dari MUIP kepada Pertubuhan Sahabat Huffaz Pahang bagi tujuan pengurusan program KAST2.0 sebanyak RM20,000.

Program dianjurkan dengan kerjasama Mahaad Tahfiz Negeri Pahang, Lajnah Pendidikan Paskim, Maahad Tahfiz Darul Fikri dan Maahad Tahfiz Al Istiqamah Temerloh serta mendapat kerjasama yang baik dari 3 masjid terlibat.

Turut menerima sumbangan ialah Masjid UnIPSAS bagi tujuan program Ihya' Ramadan sebanyak RM100,000.

Abdul Zaki
Abdul Zaki

Abdul Zaki dalam ucapannya mengalu-alukan program sebegini dan mengharap semua jemaah dapat mengambil peluang untuk bersama sama menjayakan program terbaik ini.

Beliau berkata, KAST ini merupakan satu program yang mempunyai kelainan, dengan khatam al-Quran dalam solat tarawih.

"Saya harap program seperti ini dapat diluaskan lagi ke daerah di Pahang pada masa hadapan sekali gus beri peluang kepada guru-guru hafiz al-Quran untuk mengalunkan bacaan kitab suci itu (Al-Quran) sempena Ramadan ini," katanya.

Sementara itu, Dr Asmadi berkata, MUIP menyalurkan sumbangan sebanyak RM312,000 kepada Maahad Tahfiz Madrasah dan pondok negeri di Pahang bagi tujuan pengimarahan Ihya Ramadan.

"Kita harap sumbangan yang diberikan dapat digunakan sepenuhnya oleh penerima mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan selain majlis berbuka puasa, sahur dan moreh," ujarnya.