Arahan musnah khemah bukan untuk hapus bukti

Saksi ke-13 ACP (B) Md Zukir Md Isa, yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Perlis sebelum memasuki bilik prosiding untuk memberi keterangan pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
Saksi ke-13 ACP (B) Md Zukir Md Isa, yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Perlis sebelum memasuki bilik prosiding untuk memberi keterangan pada sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Arahan memusnahkan khemah penempatan sementara yang ditemui di Wang Kelian, Perlis pada 2015 bukan bermaksud untuk menghapuskan bukti, kata bekas Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner (B) Md Zukir Md Isa.

Md Zukir berkata arahan yang dikeluarkan semasa beliau mempengerusikan mesyuarat bulanan Ketua Polis Perlis pada 20 Januari 2015 itu adalah untuk memastikan penempatan tersebut tidak boleh digunakan semula oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) pada masa akan datang.

Arahan itu, katanya dikeluarkan selepas mendengar taklimat oleh Komandan Kompeni B, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Superintendan M. Joeking yang memaklumkan telah menemui kem penempatan dan menahan 38 pendatang tanpa izin, pada mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Rizani Che Ismail, Majlis Keselamatan Negara dan beberapa agensi keselamatan lain.

Saksi ke-13 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian itu berkata pada mesyuarat tersebut, Joeking turut memberitahu tentang kewujudan struktur tanah yang menyerupai kubur dan ekoran itu, beliau mengarahkan supaya siasatan lanjut dibuat bagi memastikan kesahihan kandungan di bawah struktur tanah itu.

Menurut Md Zukir, berdasarkan aturan, arahan beliau pada mesyuarat tersebut adalah untuk menyiasat kesahihan struktur tanah menyerupai kubur terlebih dahulu sebelum merobohkan khemah berkenaan.

“Mengikut ‘sequence’ ini, saya beranggapan mereka faham bahawa arahan memusnahkan khemah supaya tidak boleh diduduki PATI (pendatang asing tanpa izin) merujuk kepada merobohkan bahagian tertentu dahulu, bukannya memusnahkan keseluruhan struktur penempatan.

“Fokus arahan saya, siasat kesahihan struktur tanah yang menyerupai kubur, pastikan khemah tidak boleh diduduki semula PATI, bermakna bukan roboh semua tetapi bahagian tertentu seperti kanvas yang dijadikan bumbung,” katanya dan menambah tidak ada bantahan dan cadangan diterima daripada ahli mesyuarat berkenaan arahannya itu.

Md Zukir berkata pasukan Joeking yang merobohkan struktur khemah melebihi daripada arahannya pada 21 Jan 2015, mungkin tidak memahami arahannya dengan jelas memandangkan bidang tugas hakiki Joeking lebih tertumpu pada operasi dan bukannya siasatan.

Artikel Berkaitan:

Md Zukir, yang bersara sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Kedah pada 2017, berkata kandungan taklimat dan arahan yang dikeluarkannya telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Perlis Datuk Zul Aznan Haron selepas mesyuarat iaitu pada kira-kira jam 1 tengah hari.

"Saya juga maklumkan tentang penemuan struktur tanah yang menyerupai kubur di mana tiada apa-apa arahan lanjut diberi, yang pada pemahaman saya, beliau (Ketua Polis Perlis) bersetuju dengan arahan yang saya keluarkan," katanya.

Kepada pertanyaan bekas Ketua Polis Negara yang juga Timbalan Pengerusi RCI Tan Sri Norian Mai sama ada wujud koordinasi antara pihak keselamatan dalam mengendalikan kes itu, Md Zukir berkata pada peringkat awal, tidak ada koordinasi yang baik antara polis, PGA dan agensi lain dalam menjalankan siasatan.- Bernama