Ramadan, bulan cari keredaan ALLAH

Umat Islam dinasihatkan agar menjalani ibadah puasa dengan tekun dan ikhlas bagi mematuhi perintah ALLAH SWT dalam mencari keredaan-Nya. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Salim)
Umat Islam dinasihatkan agar menjalani ibadah puasa dengan tekun dan ikhlas bagi mematuhi perintah ALLAH SWT dalam mencari keredaan-Nya. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Wan Salim)
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam dinasihatkan agar menjalani ibadah puasa dengan tekun dan ikhlas bagi mematuhi perintah ALLAH SWT dalam mencari keredaan-Nya.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Ramadan adalah masa yang amat sesuai bagi seorang Muslim bertaubat daripada dosa yang pernah dilakukan dan berazam memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan diri.

Beliau juga mengingatkan umat Islam berusaha untuk mengubah kebiasaan yang tidak baik kepada perilaku yang baik selaku seorang insan yang taat dan jujur dalam hubungan dengan Tuhan mahupun sesama makhluk.

“Ramadan adalah bulan ibadah dan kerohanian. Justeru tingkatkan ibadah dengan berpuasa pada siang hari dan penuhi malamnya dengan tarawih, qiamullail, tilawah al-Quran, zikir dan lain-lain ibadah yang dianjurkan agama Islam.

“Infaqlah sebahagian rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT kepada anda untuk membantu orang yang kurang berbasib baik. Ingatlah amalan infaq dan sedekah amat disukai ALLAH SWT lebih-lebih lagi dalam bulan yang diberkati ini. Sedekah akan menambahkan rezeki pelakunya dan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama hamba ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau pada masa sama menasihatkan agar umat Islam mengambil kesempatan pada Ramadan ini untuk meningkatkan lagi hubungan kasih sayang dan ikatan mesra antara kaum keluarga, adik beradik dan sahabat handai.

“Lakukan amalan ziarah kepada yang hampir dan bertanya khabar bagi yang berjauhan. Jernihkan kembali suasana yang keruh. Rawatkan segera hati yang terluka semoga hubungan mesra kekal terjalin sehingga akhirat.

“Hulurkan tangan anda kepada ibu bapa, adik beradik dan sesiapa sahaja untuk memohon kemaafan dan bukalah hati anda untuk memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri anda semoga dengan itu ALLAH SWT mengampunkan segala dosa anda pula.

"Sesungguhnya tiada manusia yang terelak daripada melakukan kesalahan dan kekhilafan,” jelasnya.