Pokok tumbang hempap kereta, lima mangsa terperangkap

Dua kenderaan dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Persiaran 1 berhampiran Masjid Taman Gombak pada Rabu.
Dua kenderaan dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Persiaran 1 berhampiran Masjid Taman Gombak pada Rabu.
A
A
A

GOMBAK - Dua keluarga berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Persiaran 1 berhampiran Masjid Taman Gombak pada Rabu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Morni Mamat berkata, dua kenderaan terlibat dalam insiden itu membabitkan sebuah Perodua Alza dinaiki tiga mangsa dan Honda CRV dinaiki dua mangsa.

Menurutnya, kesemua mangsa berumur 12 hingga 49 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau memberitahu, bilik gerakan menerima panggilan kecemasan tersebut jam 6.07 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pokok tumbang telah menghempap dua kereta menyebabkan penumpang tersebut terperangkap di dalam kenderaan terlibat.

"Pihak bomba mengambil masa 10 minit bagi membantu mengeluarkan kesemua mangsa setelah tiba di lokasi. Kesemua mangsa dilaporkan selamat," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Pasukan bomba membantu mangsa keluar daripada kereta yang dihempap pokok.
Pasukan bomba membantu mangsa keluar daripada kereta yang dihempap pokok.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya turut menerima laporan insiden pokok tumbang yang telah menghalang laluan kenderaan di Jalan Hang Lekir Padang Golf, Hulu Selangor kira-kira jam 6.15 petang.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa selama 20 minit bagi mengalihkan dahan pokok tumbang berkenaan dan tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan, pihaknya menerima 26 laporan pokok tumbang di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor ( Selayang, Damansara) setakat jam 7.58 petang.

"Antara kawasan terlibat Jalan Templer Bandae Baru Selayang, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selayang Mutiara, Selayang Mulia Batu Caves dan Lebuh raya Duta.

"Terdapat kes pokok tumbang telah menyebabkan kacau ganggu dan kerosakan harta benda antaranya dua laluan terhalang di Jalan Sungai Tua, Jalan 2/9 Bandar Baru Selayang (pokok tumbang hempap kereta), Lot 4705 Jalan Sungai Tua (pokok hempap dinding rumah) dan Pasar Borong Selayang (pokok tumbang hempap kereta dan terdapat mangsa), " katanya.