Pengurusan kes rayuan Peguam Diraja wakili Najib pada 6 April

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan 6 April untuk satu lagi pengurusan kes rayuan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw yang berpangkalan di United Kingdom untuk diterima masuk sebagai peguam untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam kes jenayah melibatkan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan peguam Badan Peguam Malaysia Annemarie Pravina Vendargon ketika dihubungi selepas pengurusan kes bagi rayuan itu hari ini.

Annemarie berkata, tarikh itu ditetapkan sementara menunggu keputusan permohonan semakan Najib yang dijadualkan pada 31 Mac.

Beliau berkata tarikh perbicaraan akan ditetapkan pada pengurusan kes berikutnya.

Prosiding pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Suhaila Haron, dihadiri peguam Wan Muhammad Arfan Wan Othman mewakili Laidlaw manakala Peguam Persekutuan Noor Atiqah Zainal Abidin mewakili Jabatan Peguam Negara dan beliau turut mewakili Pendakwa Raya. Turut hadir, peguam Lim Sze Han mewakili Jawatankuasa Peguam KL dan Annemarie bagi Badan Peguam Malaysia.

Mahkamah Persekutuan sepatutnya mendengar rayuan Laidlaw serta permohonan Pendakwa Raya dan tiga yang lain untuk membatalkan rayuan Laidlaw dan permohonan Pendakwa Raya untuk campur tangan dalam rayuan Laidlaw pada 15 Mac.

Bagaimanapun, prosiding itu ditangguhkan dan pengurusan kes telah ditetapkan pada hari ini.

Laidlaw telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau untuk diterima masuk sebagai peguam cara dan peguam bela pada 21 Julai lepas.

Artikel Berkaitan:

Pendakwa Raya, yang tidak dinamakan sebagai responden dalam rayuan Laidlaw, kemudian memfailkan permohonan untuk mencelah agar dimasukkan sebagai responden keempat atas alasan ia adalah pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi namun telah digugurkan secara unilateral dalam rayuan itu.

Melalui notis usul yang difailkan pada 18 November lepas, Pendakwa Raya turut memohon agar rayuan Laidlaw dibatalkan atas alasan ia bersifat akademik dan adalah penyalahgunaan proses mahkamah serta tidak dapat dipertahan.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur yang dinamakan sebagai responden, turut memfailkan permohonan masing-masing bagi membatalkan rayuan Laidlaw.

Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara dan denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas beliau bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos lepas.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 31 Mac ini untuk menyampaikan keputusannya dalam permohonan bekas Perdana Menteri itu. - Bernama