Negeri Sembilan cadang tiga lokasi bina PPR

 Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mencadangkan tiga lokasi bagi pembinaan projek perumahan rakyat (PPR) untuk diperhalusi serta pertimbangan pihak kerajaan Persekutuan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, ia merangkumi kawasan sekitar daerah Seremban, Jempol dan Tampin dengan keluasan tanah 8.09 hingga 12.1 hektar (20 hingga 30 ekar).

"Kerajaan negeri sentiasa memberikan kerjasama kepada kerajaan pusat, kita telah senaraikan tiga tapak pada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk dinilai. Lokasi yang dicadangan itu strategik, dilengkapi dengan innfrastruktur yang baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Logo Baharu Majlis Daerah Rembau di Wisma Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Muhamad Nahar Mohd Sidek dan Yang Dipertua Majlis Daerah Rembau, Mohamad Najib Mustafa.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum ini dilaporkan berkata negeri yang menawarkan tanah di lokasi strategik secara percuma akan diberi keutamaan untuk pembinaan PPR.

Sementara itu menjelang Ramadan esok, Aminuddin berharap para peniaga di bazar Ramadan dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Katanya, prosedur serta garis panduan berkaitan bazar kepada peniaga juga telah dimaklumkan lebih awal lagi bagi persediaan menyambut bulan yang mulia itu namun masih timbul isu berniaga di tempat larangan seperti di tempat meletak kereta.

"Tetapi malang bagi kita apabila ada sekelompok tidak menghormati keputusan yang dibuat pihak PBT, ini menimbulkan suasana tidak harmoni.

"Saya harap mereka ini memahami tanggungjawab masing-masing, perlu hormat menghormati antara satu sama lain. Ada sebab kenapa tidak dibenarkan berniaga dan dipasang khemah," katanya. - Bernama