Maritim musnahkan dua bot nelayan asing dilucut hak

Dua bot nelayan asing yang dilucut hak dimusnahkan menggunakan jengkaut. - Foto Maritim
Dua bot nelayan asing yang dilucut hak dimusnahkan menggunakan jengkaut. - Foto Maritim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua buah bot nelayan asing Vietnam dilupuskan secara hancur musnah oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu pada Rabu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, pelupusan dibuat menggunakan jengkaut selepas mendapat perintah lucut hak dari mahkamah.

Menurutnya, bot nelayan asing Vietnam tersebut sebelum ini ditahan kerana menceroboh perairan negara di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Bot yang dihancur musnah kali ini telah ditahan bersama 12 kru termasuk tekong pada tahun lalu pada sekitar kedudukan 70 dan 113 batu nautika dari Kuala Terengganu kerana didapati menceroboh perairan dan mencandat sotong tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Dua buah bot nelayan asing yang dilupuskan Maritim Malaysia. - Foto Maritim
Dua buah bot nelayan asing yang dilupuskan Maritim Malaysia. - Foto Maritim

Mohd Khairulanuar berkata, pelupusan bot nelayan asing kali ini merupakan siri pertama yang diadakan agensi tersebut pada tahun ini.

"Kaedah hancur musnah dilaksanakan ke atas bot yang bersaiz di bawah 70 GRT (gross register tonnage).

"Bagi bot yang lebih besar, pelupusan biasanya menggunakan kaedah ditenggelamkan di dasar lautan menjadi tukun kepada habitat laut," katanya.

Jelas beliau, Maritim Malaysia sentiasa tegas dalam melaksanakan undang-undang di perairan negeri Terengganu, khususnya demi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan negara terpelihara.

"Oleh itu kita turut memohon kerjasama daripada masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan yang melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999," katanya.