Tarawih: Terengganu tidak halang guna khidmat imam luar negara

Ahmad Samsuri (tengah) bertanya sesuatu kepada imam dan bilal yang hadir pada Majlis Pemberian Bantuan Tunai ”One Off” kepada Imam dan Bilal di Bawah Skim Mubaligh di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.
Ahmad Samsuri (tengah) bertanya sesuatu kepada imam dan bilal yang hadir pada Majlis Pemberian Bantuan Tunai ”One Off” kepada Imam dan Bilal di Bawah Skim Mubaligh di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu tidak menghalang sekiranya masjid dan surau di negeri ini mahu menggunakan khidmat imam dari luar negara mengimamkan solat tarawih pada bulan Ramadan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagaimanapun perkara tersebut bergantung kepada keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

"Secara umumnya begitu (tiada larangan guna imam luar negara) tapi bergantung kepada tapisan, perbincangan dan kelulusan yang dibuat oleh MAIDAM.

"Kena tanya Maidam ada ke tak permohonan (imam luar) kerana ia tidak diuruskan kerajaan negeri secara terus. Kita serah kepada MAIDAM," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Pemberian Bantuan Tunai ”One Off” kepada Imam dan Bilal di Bawah Skim Mubaligh di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.

Turut hadir Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Melalui insentif itu, seramai 141 imam dan bilal yang bertugas di seluruh negeri ini menerima bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM200 seorang membabitkan peruntukan berjumlah RM28,200.

Media sebelum ini melaporkan larangan menjemput imam luar negara bagi solat tarawih di masjid dan surau seluruh Selangor memberi laluan kepada imam tempatan, asatizah, graduan serta pelajar tahfiz tempatan yang berkelayakan menggalas tugas tersebut sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, keputusan untuk tidak membenarkan imam jemputan solat tarawih luar negara di masjid dan surau di seluruh Selangor pada Ramadan 2023M/1444H telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sejak tahun 2015.