Dedah, hukum identiti pemberi rasuah

Muhammad Khalil Abdul Hadi
A
A

MARANG - Pemuda Pas memuji ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani isu berkaitan rasuah namun meminta pemberi rasuah turut dihukum serta didedahkan identiti mereka.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi bersetuju tindakan SPRM menahan dan mendakwa mana-mana kakitangan awam disyaki tidak jujur dan telus dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah diberikan.

"Kita juga bersetuju untuk tidak berkompromi dengan mana-mana kakitangan awam yang terbukti menerima rasuah dan menyokong dikenakan tindakan atau hukuman jika terbukti bersalah.

"Namun jangan kita semua lupa di sebalik semua ini, yang memberi rasuah juga wajib dihukum serta didedahkan identiti mereka," katanya dalam satu kenyataan medianya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau memuji pencapaian SPRM kerana berjaya membongkar tindakan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melindungi sindiket 'lori kebal' di Pulau Pinang.

Pemuda Pas menyifatkan penahanan penguat kuasa JPJ dalam jumlah yang ramai membuktikan bahawa sememangnya SPRM menjalankan tugas dengan berkesan, telus dan tanpa gentar.

ARTIKEL BERKAITAN: Skandal rasuah JPJ: SPRM sahkan tahan 79 individu

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, harus diingat bahawa pemberi rasuah bertanggungjawab menyogok wang ringgit dan habuan kepada kakitangan awam supaya tidak amanah dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau seterusnya mengingatkan agar rakyat tidak hanya leka menyalahkan kakitangan awam yang menerima rasuah sehingga lupa kepada yang memberi.

Sehubungan itu, beliau mengulangi agar pemberi rasuah wajib dihukum serta didedahkan identiti mereka.

Beliau berkata, jika rasuah itu melibatkan kepentingan perniagaan, maka perniagaan tersebut harus disiasat serta kemungkinan disita ataupun digantung lesen perniagaannya ataupun pemiliknya di larang menjalankan perniagaan selain daripada denda dan hukuman penjara.

"Jangan hanya kerana tindakan segelintir kakitangan awam yang berbuat onar, yang lain turut menerima tempias dan dipersalahkan.

"Jangan pula kerana tindakan tersebut, kakitangan awam di buruk-burukkan, diperlekeh malah di gambarkan tidak efisyen dan berdaya saing.

"Jangan kita lupa, masih terlalu ramai kakitangan awam yang berdedikasi, jujur dan amanah dan menjadi pemangkin pembangunan negara," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia