Penolong operasi syarikat rugi RM68,256

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang penolong operasi sebuah syarikat rugi RM68,256 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan didalangi dua individu menyamar sebagai kakitangan Telekom dan pegawai polis.

Wanita berusia 60 tahun itu diperdaya dengan helah kononnya dia mempunyai tunggakan bil telefon yang didaftar atas namanya di Kuala Lumpur sebelum identitinya dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai kakitangan telekom melalui telefon rumahnya memaklumkan berhubung tunggakan bil berkenaan pada pagi 22 April lalu.

Menurutnya, mangsa menafikan kerana tidak pernah membuat pendaftaran nombor telefon selain yang digunakan.

“Seperti biasa, sindiket menyambung panggilan itu kepada seorag pegawai polis untuk memberi keterangan sebelum namanya dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Sindiket memperdaya mangsa kononnya mereka boleh membantu menyelesaikan kes tersebut dan meminta wanita itu membuat sejumlah bayaran ke akaun yang diberikan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, bimbang dikenakan tindakan, mangsa akur lalu membuat dua transaksi bayaran ke dua akaun bank atas nama individu berbeza berjumlah RM68,256.

“Selepas menyedari dia ditipu, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang tukang masak menerima nasib sama apabila rugi lebih RM3,000 selepas terpedaya dengan tawaran iklan pinjaman wang tidak wujud melalui Facebook.

Mangsa berusia 30 tahun tertarik dengan tawaran pinjaman wang dengan bayaran bulan rendah itu dan berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM20,000 dengan tempoh bayaran balik selama 10 tahun.

Mohd Wazir berkata, untuk proses kelulusan permohonannya, mangsa diminta membuat beberapa bayaran.

“Mangsa membuat lima transaksi bayaran dalam tempoh antara 16 hingga 21 April lalu melalui dua akaun bank atas nama individu berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM3,080.

“Mangsa mula curiga apabila suspek terus meminta bayaran tambahan dan mula syak dia ditipu lalu membuat laporan polis,” katanya.