Tunai zakat di bulan Ramadan peluang menang pakej umrah

Abdul Hakim
Abdul Hakim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menawarkan lebih 1,000 hadiah menarik termasuk pakej umrah sebagai memberi galakan kepada umat Islam membayar zakat pada Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, selain Disember, Ramadan merupakan bulan paling sibuk orang ramai menunaikan zakat bagi merebut pahala berganda di bulan mulia itu.

Menurutnya, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan hampir RM191 juta membabitkan bayaran zakat harta (RM175 juta) dan fitrah (RM13. 8 juta) serta wakaf (RM2. 2 juta) sepanjang tempoh sebulan Kempen Ramadan Anugerah Terindah itu berlangsung.

"Ia membabitkan peningkatan 19.6 peratus berbanding RM160 juta pada tahun lepas.

"Selain itu, PPZ-MAIWP turut menyasarkan pembayar zakat meningkat kepada 1.8 juta pembayar berbanding 1.7 juta orang pada tahun lepas, " katanya ketika pelancaran Kempen Ramadan Anugerah Terindah di Wisma PPZ-MAIWP di Taman Shamelin pada Selasa.

Abdul Hakim (dua dari kiri) melancarkan Kempen Ramadan Anugerah Terindah di Wisma PPZ-MAIWP di Taman Shamelin pada Selasa.
Abdul Hakim (dua dari kiri) melancarkan Kempen Ramadan Anugerah Terindah di Wisma PPZ-MAIWP di Taman Shamelin pada Selasa.

Kempen berkenaan turut menawarkan cabutan bertuah berupa set solat ekslusif, jam Buruj, telekung dan sejadah ekslusif serta rehal ekslusif.

Beliau berkata, PPZ-MAIWP turut menyediakan pelbagai program dan aktiviti menarik sepanjang Ramadan seperti Vibe Ramadan Tadabbur al-Quran, bual bicara, program turun padang dan kuiz interaktif zakat serta pengisian ilmiah.

"Vibe Ramadan Tadabbur al-Quran merupakan perkongsian ilmu setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 9 pagi bersama penceramah terkenal seperti Ustaz Don Daniyal Biyajid dan Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang di platform Facebook dan Youtube PPZ-MAIWP.

"PPZ-MAIWP turut menawarkan cenderahati istimewa seperti sampul raya dan produk asnaf, serta sijil wakaf kepada 4,000 pembayar zakat harta terawal di kaunter PPZ-MAIWP bagi Wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu MAIWP menetapkan tiga kadar fitrah di Wilayah Persekutuan iaitu RM7, RM14, dan RM21 pada tahun ini yang pembayaran boleh dibuat melalui portal fitrah.zakat.com.my.

"Bayaran juga boleh dibuat kepada 921 penolong amil yang dilantik serta 10 kaunter PPZ-MAIWP selain di masjid, surau dan pasar raya.

"Bayaran secara dalam talian pula boleh dibuat melalui perbankan internet dan saluran e-dompet (Boost, Shopee, Tulus, GoPayz, The Noor, Raiz)," ujarnya.