'Kembali ke tujuan asal MRSM, tambah kemasukan pelajar B40'

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Tujuan asal penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk membantu pelajar golongan berpendapatan rendah perlu dikekalkan dan tidak sepatutnya dibuka kepada mereka yang berstatus elit.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pendidikan adalah jalan untuk anak-anak B40 keluar daripada kepompong kemiskinan.

Kata beliau, peluang itu seharusnya diberikan kepada orang susah bukan yang senang.

"Kena kembali ke tujuan asal MRSM, tingkatkan kemasukan pelajar B40 dan berikan mereka akses kepada pendidikan yang berkualiti.

"Oleh itu, saya kurang bersetuju dengan cadangan ini kerana anak-anak B40 sangat bergantung kepada bantuan kerajaan," ujarnya menerusi Twitter pada Selasa.

Media melaporkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) baharu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan agar MRSM berbayar diwujudkan khusus bagi golongan berpendapatan tinggi.

Beliau mengutarakan cadangan itu kerana terdapat permintaan daripada ibu bapa golongan elit untuk menghantar anak mereka belajar di MRSM.

Mengulas lanjut Syed Saddiq memberitahu, golongan ibu bapa yang berpendapatan tinggi sepatutnya memahami bahawa mereka mempunyai pilihan untuk menghantar anak-anak mereka di mana sahaja.

"Mahu hantar pergi Kolej Yayasan Saad (KYS), Sri Cempaka atau (Sekolah Sri) KDU pun boleh. Bagaimanapun, golongan B40 mempunyai pilihan sangat terhad untuk ke sekolah elit.

"Jangan rampas peluang pembelajaran orang lain, " jelasnya.