Halusi cadangan tubuh MRSM berbayar untuk orang kaya

Asyraf Wajdi (kanan) ketika taklimat khas daripada Mara Corp pada Isnin.
Asyraf Wajdi (kanan) ketika taklimat khas daripada Mara Corp pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) diminta memperhalusi cadangan untuk menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar bagi golongan berada.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana wujud permintaan oleh ibu bapa daripada golongan berkenaan yang berhasrat untuk menghantar anak mereka menyambung pelajaran ke institusi itu.

Menurutnya, mereka bahkan sanggup menanggung kos yang tinggi untuk ke MRSM walaupun berkemampuan menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah elit swasta antarabangsa.

“Ini kerana MRSM terbukti satu jenama yang sudah terpahat dalam minda masyarakat sebagai institusi pendidikan yang unik dan berkualiti tinggi.

“Justeru saya minta Mara dan Mara Corp untuk memperhalusi cadangan ini secara holisitk bagi memenuhi segmen masyarakat seperti ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Ujarnya, cadangan itu disuarakan beliau ketika taklimat khas daripada Mara Corp, iaitu cabang perniagaan dan pelaburan Mara pada pagi Isnin.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut berkongsi pandangan mengenai keperluan untuk Mara Corp sentiasa mencari peluang pelaburan dan perniagaan yang memberikan pulangan serta impak sosial yang tinggi, sesuai dengan mandat Mara itu sendiri.

“Pada masa sama turut menitikberatkan soal tadbir urus yang tinggi serta barakah dalam melaksanakan mandat kita.

“Saya juga mengemukakan pandangan yang saya perolehi daripada ramai pihak yang mencadangkan agar diwujudkan juga MRSM berbayar yang dirangka khas bagi segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi yang boleh diuruskan oleh Mara Corp.

“Namun saya tegaskan ia tidak sesekali boleh dikompromikan soal falsafah, orientasi dan budaya pendidikan yang menjadi ekosistem MRSM itu sendiri.“Ia termasuklah kurikulum Ulul-Albab agar kualiti dan konsistensi penyampaian terpelihara,” jelasnya.

Untuk rekod, usul pembinaan MRSM berbayar dicadangkan oleh Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada tahun 2016.

Ismail Sabri yang memegang portfolio Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika itu dilaporkan berkata, beliau menerima banyak permintaan daripada ibu bapa berpendapatan tinggi yang mahu menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di MRSM.

Bagaimanapun, pada tahun 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan tidak akan meneruskan cadangan berkenaan, memandangkan ia dilihat lari daripada matlamat asal.-