Beratur 30 minit demi minyak masak peket RM2

Orang ramai beratur untuk membeli minyak masak dan ayam ketika program Jualan Pra Ramadan Melaka Madani 2023 di Bukit Katil di sini, pada Selasa (Gambar kecil: Nora dan Hasanah)
Orang ramai beratur untuk membeli minyak masak dan ayam ketika program Jualan Pra Ramadan Melaka Madani 2023 di Bukit Katil di sini, pada Selasa (Gambar kecil: Nora dan Hasanah)
A
A
A

MELAKA - Seorang warga emas berusia 74 tahun dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel di sini sanggup beratur panjang untuk membeli minyak masak yang djual dengan harga RM2 sepeket.

Nora Lailah yang ditemui pada program Jualan Pra Ramadan Melaka Madani 2023 di Bukit Katil di sini pada Selasa berkata, dia yang memandu sendiri ke lokasi itu dengan rakan-rakannya yang juga ibu tunggal untuk membeli minyak dan barang keperluan lain menjelang Ramadan.

Menurutnya, biarpun terpaksa beratur lebih 30 minit namun berbaloi dapat membeli minyak peket dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran yang dijual dengan harga RM2.50 sepeket.

"Sebab murah dan berbaloi saya sanggup beratur walaupun pembelian terhad dua peket sahaja.

"Selain minyak masak, banyak barangan lain termasuk ayam dan daging dijual dengan harga berpatutan dan diberikan kupon potongan harga sebanyak RM5," katanya ketika ditemui pada program anjuran Biro Ekonomi dan Dakwah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Hasanah Piee, 57, berkata, walaupun mengalami sakit kaki namun tetap bersemangat untuk membeli minyak peket memandangkan sukar mendapatkan bekalan itu di pasar raya mahupun kedai berdekatan kediamannya.

Dia yang bekerja sebagai tukang pembersihan surau di Kampung Tun Razak, berharap program Jualan Rahmah seperti itu dapat diadakan lebih kerap terutama sepanjang Ramadan dan juga musim perayaan tidak lama lagi.

"Syukur dengan wang diberikan Zakat Melaka setiap tahun, dapat saya gunakan beli barang makanan terutama minyak yang kita guna setiap hari.

"Kalau boleh buatlah selalu jualan minyak RM2 ini kerana memang membantu rakyat berjimat," katanya.

Sementara itu Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar, berkata, pihaknya memeriahkan jualan pra Ramadan itu menerusi Gerai Jualan Rahmah yang menawarkan minyak masak peket RM2.

Menurutnya, seawal jam 8 pagi gerai berkenaan mendapat sambutan menggalakan meskipun cuaca panas pada waktu tengah hari namun orang ramai masih beratur untuk membeli barangan runcit lain selain minyak masak.

"KPDN Melaka akan sentiasa bersama dan menyokong program yang membantu rakyat bijak berbelanja," katanya.