Gajah jantan musnahkan tanaman ditangkap

Gajah jantan seberat 2.2 tan berjaya ditangkap Perhilitan Perak akan dipindahkan ke habitat asal pada Rabu. - Foto Ihsan Perhilitan Perak
Gajah jantan seberat 2.2 tan berjaya ditangkap Perhilitan Perak akan dipindahkan ke habitat asal pada Rabu. - Foto Ihsan Perhilitan Perak
A
A
A

GERIK - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya menangkap seekor gajah jantan yang dipercayai merosakkan tanaman penduduk di Kampung Durian Burung, Bongor di sini, Ahad lalu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, mamalia seberat 2.2 tan dianggarkan berusia antara 25 hingga 26 tahun itu dipercayai tersesat dari Hutan Simpan Temenggor berhampiran.

"Operasi menjejaki gajah liar berkenaan dijalankan sejak dua bulan lalu selepas menerima aduan kemusnahan tanaman antaranya pisang, durian, getah dan kelapa yang dianggarkan bernilai sekitar RM10,000.

"Unit Tangkapan Gajah (UTG) Pejabat Perhilitan Daerah Gerik membuat kawalan di kampung berkenaan sebelum berjaya menangkap haiwan liar ini pada petang Ahad," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Menurut Yusoff, operasi menyelamat dan translokasi haiwan itu akan dilaksanakan pada Rabu dengan bantuan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang.

"Gajah terbabit ditempatkan di kawasan bersesuaian dan pemantauan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Setakat ini, hanya seekor gajah dikesan di kawasan berkenaan dan orang ramai diminta melaporkan gangguan haiwan liar dengan menghubungi Perhilitan," katanya.