RM1 juta untuk program semarak Ramadan di Pahang

Syed Ibrahim (kanan) hadir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Ihya Ramadan Negeri Pahang di Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh pada Isnin
Syed Ibrahim (kanan) hadir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Ihya Ramadan Negeri Pahang di Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh pada Isnin
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang memperuntukkan hampir RM1 juta untuk pelbagai program yang diatur di seluruh negeri sepanjang Ramadan kali ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Kemajuan Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, jumlah yang diperuntukkan itu tidak termasuk bantuan dan sumbangan kepada golongan asnaf yang akan disantuni.

Menurutnya, peruntukan itu bertujuan memastikan Ramadan kali ini diimarah dan disemarakkan dengan ibadah serta aktiviti keagamaan terutama di masjid.

"Antara program yang diaturkan termasuk majlis perasmian masjid dan iftar bersama masyarakat dan asnaf di 14 lokasi terpilih.

"Lima masjid termasuk maahad tahfiz dijangka akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah sepanjang Ramadan ini.

"Masjid terlibat ialah Masjid Kampung Baru di Bentong,Masjid Kampung Batu Bor (Bera), Masjid Kampung Lamir (Pekan), Masjid Taman Temerloh Jaya (Temerloh) dan Maahad Dirasad Ad-Diniah Kampung Temin (Jerantut)," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau sebelum itu hadir mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Ihya Ramadan Negeri Pahang di Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh pada Isnin.

Syed Ibrahim berkata, sempena majlis perasmian itu turut diadakan majlis iftar bersama orang ramai dan asnaf.

"Majlis iftar juga akan diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar di Raub, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Sungai Koyan (Lipis), Madrasah Tahfiz Al-Umm (Rompin),Madrasah Asyraful Madaris (Kuantan), Masjid Benta (Lipis), Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang, Padang Majlis Bandaraya Kuantan dan di Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di sini.

"Sambutan Nuzul Quran diadakan bersama majlis berbuka puasa di Masjid Jamek,Chenor, Maran.

"Al-Sultan Abdullah dan Pemangku Raja Pahang,Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dijangka berangkat ke majlis itu," ujarnya.

Sementara itu katanya, semua masjid di Pahang perlu dihidupkan dengan aktiviti ibadah dan program keagamaan serta tidak dijadikan medan berpolitik atau penyebaran pekara mengelirukan.

"Bagi tujuan itu, kerajaan negeri juga bakal mengatur Ihya akhir Ramadan di masjid-masjid daerah seluruh Pahang,

"Imam Besar Masjid Imam As Syafie dari Mesir, Sheikh Sameh Abdullah turut dijadualkan berkunjung ke bumi Pahang, Ramadan ini," katanya.

Selain itu katanya, kira-kira 2,000 asnaf pelbagai kategori di negeri ini akan disantuni dengan bantuan dan sumbangan.