Ringgit ditutup mengukuh sedikit berbanding dolar AS

Ringgit diniagakan dalam julat kecil dan mengukuh berbanding dolar AS pada akhir urus niaga pada Isnin. - Gambar hiasan
Ringgit diniagakan dalam julat kecil dan mengukuh berbanding dolar AS pada akhir urus niaga pada Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT diniagakan dalam julat kecil dan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga pada Isnin ketika peserta pasaran lebih berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) pada 21-22 Mac ini, kata ahli ekonomi.

Ringgit mengukuh sedikit kepada 4.4830/4885 berbanding dolar AS daripada 4.4850/4880 pada Jumaat lepas.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, rata-rata peserta pasaran masih menumpukan hasil mesyuarat FOMC itu walaupun kebimbangan mengenai kemelut perbankan mereda selepas UBS bersetuju membeli saingannya yang bermasalah, Credit Suisse.

"Kami berpendapat pasaran berbelah bahagi sama ada Rizab Persekutuan AS (Fed) akan meneruskan pendirian yang cenderung terhadap kenaikan kadar faedah susulan insiden bank yang lumpuh di negara itu.

"Namun, perkembangan ini sebaliknya adalah positif untuk ringgit kerana pasaran niaga hadapan dana Fed telah menerima pengurangan kadar pada separuh kedua 2023.

"Oleh itu, ringgit agak bertahan buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, penurunan hasil benar adalah baik untuk mata wang negara sedang pesat membangun dengan pertukaran asing Asia (forex) seperti yang berlaku sebelum ini, menjadi penerima manfaat terbesar.

"Penyusutan hasil itu kekal menjadi tarikan bagi mata wang negara sedang pesat membangun, terutama ringgit yang mempunyai kaitan kuat dengan penggunaan domestik China yang positif,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 3.4177/4224 daripada 3.3679/3704 sebelum ini, rendah berbanding pound Britain kepada 5.4657/4724 daripada 5.4390/4426 dan turun berbanding euro kepada 4.7843/7901 daripada 4.7743/7775.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang Asean iaitu susut berbanding baht Thailand kepada 13.1408/1631 daripada 13.0987/1151 pada Jumaat lepas.

Ia juga rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3408/3454 daripada 3.3393/3418 dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.20/8.21 daripada 8.19/8.20 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia pada 291.80/292.30 daripada 292.20/292.60 pada Jumaat lepas. - Bernama