Jualan kenderaan pada Februari melonjak 62,649 unit - MAA

Jualan kenderaan di Malaysia melonjak 39 peratus kepada 62,649 unit pada Februari tahun ini berbanding 45,062 unit pada bulan yang sama tahun lalu. - Gambar hiasan
Jualan kenderaan di Malaysia melonjak 39 peratus kepada 62,649 unit pada Februari tahun ini berbanding 45,062 unit pada bulan yang sama tahun lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

JUALAN kenderaan di Malaysia melonjak 39 peratus kepada 62,649 unit pada Februari tahun ini berbanding 45,062 unit pada bulan yang sama tahun lalu disebabkan penghantaran tempahan yang tertunggak, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Dalam satu kenyataan pada Isnin, persatuan itu berkata, keseluruhan volum industri bagi Februari 2023 adalah 27 peratus lebih tinggi dari Januari 2023 iaitu sebanyak 49,479 unit.

Jumlah jualan Februari bagi tahun sehingga kini lebih tinggi pada 112,128 unit berbanding 86,595 unit dalam tempoh yang sama pada 2022.

Jualan kenderaan penumpang meningkat kepada 55,555 unit pada Februari 2023 berbanding 40,119 unit pada Februari 2022, dan jualan kenderaan komersial pada bulan yang sama meningkat kepada 7,094 unit daripada 4,943 unit sebelum ini, kata MAA.

Sebanyak 63,798 kenderaan dikeluarkan pada Februari 2023 berbanding 51,291 unit pada bulan yang sama tahun lepas. Pengeluaran kenderaan penumpang berjumlah 59,843 unit berbanding 47,445 unit setahun yang lalu. Pengeluaran kenderaan komersial berjumlah 3,955 unit berbanding 3,846 unit sebelumnya.

Mengenai unjuran untuk Mac 2023, MAA menjangkakan volum jualan akan lebih tinggi dari Februari 2023, dipacu oleh penghantaran segera oleh syarikat yang mempunyai tahun kewangan berakhir pada 31 Mac, 2023, kempen promosi musim perayaan Hari Raya dan bagi memenuhi tempahan yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan. - Bernama