Hampir tiap tahun terima sijil penghargaan polis

Hakimsa (kanan) bergambar kenangan dengan Mohd Iqbal bersama sijil penghargaan yang diterima sempena sambutan Hari Polis ke-216 IPD Shah Alam pada Isnin.
Hakimsa (kanan) bergambar kenangan dengan Mohd Iqbal bersama sijil penghargaan yang diterima sempena sambutan Hari Polis ke-216 IPD Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Urusan Restoran Hakim, Datuk Hakimsa Abdul Karim antara 13 orang awam yang menerima sijil penghargaan sempena Hari Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada Isnin.

Hakimsa berkata, hampir setiap tahun, restoran yang telah bertapak lebih 25 tahun di Shah Alam itu diberikan sijil penghargaan tersebut.

Menurutnya, penghargaan itu memberikan suntikan semangat buatnya untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

"Restoran Hakim dengan polis sememangnya akrab dan saling bekerjasama. Ada kala kami sumbangkan makanan tanpa diminta sebagai menghargai jasa mereka.

"Kami beri sumbangan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Kebiasaan pada bulan Ramadan, banyak pek makanan disumbang bukan hanya kepada polis tetapi juga masjid dan surau," katanya ditemui pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Isnin.

Beliau menerima sijil penghargaan disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim.

Pada majlis sama, Mohd Iqbal turut menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga pegawai serta enam anggota polis IPD Shah Alam.

Hakimsa berkata, selain mengusahakan dua restoran di Shah Alam, beliau telah menceburi dunia perniagaan selama 40 tahun.

"Dalam kita sibuk berniaga, kita jangan lupa kewajipan akhirat. Apabila kita cari makan, kita juga kena beri makan kepada orang memerlukan. Itu tips untuk bisnes bertahan lama," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sempena Ramadan ini, restoran Hakim akan dibuka selepas waktu Asar hingga Subuh bagi memudahkan orang awam berbuka puasa juga bersahur.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya cuba mengawal kenaikan harga makanan bagi tidak membebankan pengguna memandangkan beroperasi berhampiran kawasan universiti di Seksyen 7 dan Jalan Kristal.