Farm Fresh labur RM25 juta bangunkan ICOE Tenusu

Mohamed Khaled menandatangani plak sebagai simbolik merasmikan (ICOE) Tenusu.
Mohamed Khaled menandatangani plak sebagai simbolik merasmikan (ICOE) Tenusu.
A
A
A

FARM Fresh Berhad (FFB) melabur sejumlah RM25 juta sejak 2017 bagi membangunkan Pusat Kecemerlangan Industri (ICOE) Tenusu sebagai usaha mengembangkan industri tenusu tempatan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan FFB, Azmi Zainal menjelaskan, projek kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut memberi tumpuan terhadap pembangunan pusat agropelancongan bagi menggalakkan generasi muda meminati bidang pertanian.

Beliau berkata, kerjasama pemain industri membolehkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mengikuti latihan industri dan menimba pengalaman bagi mempersiapkan diri bersaing dalam dunia pekerjaan.

"Selain kerjasama membangunkan pusat agropelancongan, FFB dan UPM turut berkolaborasi dari segi memberi latihan amali kepada 670 pelajar UPM sejak 2012. Daripada jumlah itu, 58 graduan telah diserap menjadi pekerja FFB

."Ini merupakan satu indikasi kepada syarikat lain di luar sana untuk bekerjasama dengan universiti bagi memberi situasi menang-menang kepada dua pihak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) bersama UPM pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyaksikan pertukaran MoA berkenaan.

Dalam pada itu Azmi memaklumkan, ICOE Tenusu UPM-Farm Fresh yang meliputi 40.5 hektar tanah di Ladang 16 UPM akan diperkasakan dari semasa ke semasa bagi menjadikan pusat itu sebagai pusat rujukan pembelajaran.

"Ini membolehkan pengunjung yang datang ke sini bukan sahaja boleh melihat proses tenusu tetapi juga pelbagai aktiviti lain seperti ladang sayur, dusun, perikanan, ikan hiasan dan kambing.

"Oleh itu kerjasama dengan UPM ini bukan hanya dalam bidang ternakan tetapi pemasaran, perniagaan, pelancongan dan sains makanan," jelasnya.

Azmi (kanan) dan Mohd Roslan (kiri) ketika sesi pertukaran MoA bagi pembangunan ICOE Tenusu di Ladang 16 UPM pada Isnin.
Azmi (kanan) dan Mohd Roslan (kiri) ketika sesi pertukaran MoA bagi pembangunan ICOE Tenusu di Ladang 16 UPM pada Isnin.

Sementara itu Naib Canselor UPM, Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, usahasama antara universiti berkenaan dan FFB merangkumi bidang pengajaran dan pembelajaran; penyelidikan dan inovasi; aktiviti keusahawanan pelajar serta latihan kemahiran berkaitan untuk kakitangan UPM.

"Saya berharap kerjasama ini mampu melonjakkan keterlibatan industri dalam memacu UPM sebagai menara ilmu dan terus kekal sebagai peneraju bidang pertanian di samping merancakkan bidang tujahan lain," ujarnya.