Hasil kajian penggunaan lampu isyarat pintar dibentang April

Mohammad Fakhruddin (kiri)
Mohammad Fakhruddin (kiri)
A
A
A

KUANTAN - Hasil kajian terhadap penggunaan sistem lampu isyarat pintar di beberapa lokasi di Bandaraya Kuantan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas dijangka dibentangkan pada penghujung April depan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kajian untuk penggunaan sistem itu sedang dilaksanakan di jalan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) hingga ke jambatan Tanjung Lumpur dan laluan di Tanah Putih, lampu isyarat di Bukit Rangin dan di Semambu - Polisas.

Menurutnya, pembentangan itu bagi membolehkan kerajaan Pahang membuat keputusan sama ada boleh melaksanakan sistem itu atau sebaliknya.

"Sistem ini di peringkat kajian dan kita telah meminta pihak berkaitan di bawah seliaan bandar raya supaya mendapatkan hasil kajian yang lebih terperinci seterusnya dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada April ini.

"Kalau ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam lingkungan 30 peratus, mungkin kita akan pertimbangkan untuk pelaksanaannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sesi Focus Group Discussion (FGD) Kajian Pengurusan Lalu Lintas dan Pengangkutan Awam Pusat Bandaraya Kuantan di Dewan Bandaraya Kompleks Bandaraya Kuantan pada Isnin.

Mohammad Fakhruddin (tengah) menerima cenderahati daripada Fadzilah selepas merasmikan Sesi Focus Group Discussion (FGD) Kajian Pengurusan Lalu Lintas dan Pengangkutan Awam Pusat Bandaraya Kuantan di Dewan Bandaraya Kompleks Bandaraya Kuantan pada Isnin.
Mohammad Fakhruddin (tengah) menerima cenderahati daripada Fadzilah selepas merasmikan Sesi Focus Group Discussion (FGD) Kajian Pengurusan Lalu Lintas dan Pengangkutan Awam Pusat Bandaraya Kuantan di Dewan Bandaraya Kompleks Bandaraya Kuantan pada Isnin.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang dan wakil Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) yang juga Ahli Majlis MBK, Fadzilah Mohamed Tahir.

Pada sesi FGD itu turut dibincangkan kajian dan alternatif bagi menambah baik sistem pengangkutan awam di Bandaraya Kuantan.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi memperbaiki jalan rosak di Semambu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedang melakukan sedikit penambahbaikan sebelum memulakan kerja-kerja pembaikan bagi memastikan laluan tersebut dapat digunakan dengan elok untuk jangka masa panjang.