Kadar zakat fitrah di Kedah bermula RM6.50

Norizan (tengah) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online dan Program Sedekah Foodbank di Menara Zakat pada Isnin.
Norizan (tengah) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online dan Program Sedekah Foodbank di Menara Zakat pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan empat kadar zakat fitrah bagi negeri itu tahun ini iaitu RM6.50, RM7, RM14 dan RM21.

Pengerusi LZNK merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali berkata, penetapan harga zakat fitrah itu berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan penduduk Islam di Kedah dengan kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram (kg).

"Kita telah kaji dan bincang bersama dalam LZNK tentang penentuan ini, berdasarkan kita (di Kedah) ada pelbagai jenis tanaman padi, dan juga sedikit geografi ada (kawasan) yang (tanam) setahun sekalipun ada, ada setahun dua kali.

"Beras di (daerah) Sik berbeza dengan beras di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada). Jadi itu menyebabkan penentuan kadar ini berbeza dan penggunaan makanan beras oleh rakyat di Kedah juga ada pelbagai peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online dan Program Sedekah Foodbank di Menara Zakat di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman.

Disebabkan itu, beliau memaklumkan, empat kadar ditetapkan tahun ini berbanding hanya tiga kadar iaitu RM7, RM14 dan RM21 pada tahun lepas.

"Pada tahun ini, kita tambah satu lagi iaitu RM6.50 untuk umat Islam di Kedah yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super spesial tempatan 10 peratus hancur dan setaraf dengannya," katanya.

Menurutnya, penetapan kadar zakat fitrah RM6.50 itu bagi membolehkan penduduk membayar zakat mengikut kemampuan mereka.

"Kadang-kadang, ada orang yang tidak mampu dan memang makan beras itu (10 peratus hancur dan setaraf). Jadi, dia (boleh) bayar dengan sekadar kemampuan dirinya iaitu RM6.50 sahaja," katanya.

Beliau berkata, kadar zakat fitrah RM7 ditetapkan untuk umat Islam di Kedah yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super spesial tempatan 5 peratus hancur dan setaraf dengannya.

"Kadar RM14 pula ditetapkan kepada mereka yang makan beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya.

"Kadar zakat fitrah keempat iaitu RM21 ditetapkan kepada mereka yang makan beras jenis basmathi, beras jepun, beras merah dan setaraf dengannya," katanya.

Norizan berkata, LZNK turut menyediakan 27 saluran bayaran dalam talian untuk menunaikan zakat fitrah tahun ini termasuklah portal dan aplikasi LZNK bagi memudahkan orang ramai.

Sehubungan itu, beliau berkata, LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM12.4 juta pada tahun ini berbanding RM11.7 juta tahun lalu.

Sementara itu, Zakaria memberitahu, LZNK juga menggalakkan orang ramai bersedekah di seluruh kaunter LZNK dan amil-amil yang telah dilantik dengan nilai kupon yang disediakan iaitu RM5 dan RM50.

"Sebagai persediaan menghadapi Ramadan dan Syawal pada tahun ini, LZNK juga telah melancarkan program sumbangan ayam segar yang dinamakan Program Infak Aidilfitri kepada semua 3,333 keluarga asnaf di Kedah," katanya.

Beliau memaklumkan, pihaknya menyasarkan sumbangan sebanyak dua ekor ayam bagi setiap keluarga asnaf dengan jumlah kos mencecah RM99,900.

"Orang ramai yang ingin turut menyumbang kepada Program Infak Aidilfitri ini boleh berbuat demikian melalui Portal Asnaf Care https://asnafcare.com.my/," katanya.