Sikap 'ringan tulang' Abdul Ghani dihargai polis

Abdul Ghani (kanan) menerima sijil penghargaan daripada Azman (dua dari kiri) ketika Sambutan Hari Polis ke-216 di Kota Bharu pada Isnin.
Abdul Ghani (kanan) menerima sijil penghargaan daripada Azman (dua dari kiri) ketika Sambutan Hari Polis ke-216 di Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Sikap ringan tulang, berani dan mudah memberi kerjasama yang dimiliki oleh seorang peniaga melayakkan dia menerima sijil penghargaan daripada Polis Kelantan sempena Sambutan Hari Polis ke-216 dekat pada Isnin.

Abdul Ghani Muhamad, 45, dari Bukit Bakar, Machang itu sering menjadi individu terawal dalam menghulurkan bantuan setiap kali banjir berlaku selain sering terlibat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di kawasan Machang serta Tanah Merah.

Bapa kepada enam orang anak itu, menggunakan dua buah bot dan tiga jet ski miliknya untuk membantu pihak polis.

"Sudah tujuh tahun saya berbuat demikian. Alhamdulillah, seronok bila dapat bantu polis dan masyarakat setempat.

"Kadang-kadang hampir seminggu saya turut sama berada di lokasi kejadian untuk membantu melancarkan operasi SAR," katanya kepada pemberita.

Sebelum itu, Abdul Ghani menerima sijil penghargaan daripada Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob.

Abdul Ghani berkata, setiap kali banjir dia akan memainkan peranan untuk memindahkan mangsa yang terperangkap dan membantu mengagihkan bantuan kepada penduduk terkesan atau terkepung.

Dia memberitahu, semua itu dilakukan secara sukarela, lebih-lebih lagi apabila berpeluang meringankan beban anggota keselamatan.

Tambahnya, sebagai masyarakat sudah menjadi tanggungjawab untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa terutama apabila melibatkan bencana.