61 dikompaun merokok di tempat awam

Antara individu dikenakan tindakan atas kesalahan merokok di tempat awam. - Foto Jabatan Kesihatan Terengganu
Antara individu dikenakan tindakan atas kesalahan merokok di tempat awam. - Foto Jabatan Kesihatan Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengeluarkan 61 kompaun bernilai RM15,250 atas kesalahan merokok di tempat awam sepanjang operasi khas dijalankan di daerah Kemaman dan Dungun.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, notis terhadap 61 individu itu dikeluarkan di bawah pematuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004).

"Pihak jabatan menerima peningkatan aduan dari orang awam mengenai kegiatan perokok-perokok tegar yang ingkar peraturan dan merokok di kedai makan.

"Sepanjang operasi itu kita telah memeriksa sebanyak 132 premis kawasan larangan merokok khususnya kedai makan 'hot spot' dan aduan awam, hentian rehat dan rawat (R&R), hentian pengangkutan awam, premis kerajaan dan kedai tembakau, "katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, Operasi Khas bersepadu Gomo Asap Zon Selatan itu melibatkan 24 anggota penguatkuasa sepanjang dua hari operasi yang berakhir pada Ahad.

"Kesemua notis kesalahan dikeluarkan boleh dijelaskan dengan tawaran kompaun RM250 yang boleh dibayar dimana-mana Pejabat Kesihatan di seluruh Malaysia dalam tempoh dua bulan.

"Sabit kesalahan boleh di dakwa di mahkamah dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Kasemani mengingatkan supaya semua perokok tegar mematuhi 23 kawasan yang telah diwartakan pihak kerajaan sebagai kawasan larangan merokok.

Selain itu, katanya, kehadiran Ramadan kali ini juga perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk mendidik diri berhenti merokok.

"Sempena Ramadan yang bakal tiba kita harap semua perokok dapat menanam azam baharu untuk berhenti merokok melalui kempen Nafas Baharu bermula Ramadhan.

"Kita juga ada menyediakan perkhidmatan klinik berhenti merokok di semua Klinik Kesihatan di Terengganu, " ujarnya.