Perlu lebih masa runding lantikan politik dalam GLC di Perak

Chang Lih Kang
Chang Lih Kang
A
A
A

IPOH - Pimpinan parti perlukan lebih masa untuk membuat rundingan berhubung lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Perak.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Chang Lih Kang berkata, banyak faktor perlu diambil kira termasuk jawatan yang boleh diisi dan kelayakan individu dipilih.

"Kita belum ada lantikan lagi, tetapi saya boleh katakan proses ini sedang dijalankan dan diselesaikan dalam masa terdekat.

"Selepas mendapat senarai jawatan yang boleh diisi, kita akan bincang antara parti dahulu dan selepas itu barulah hantar senarai kepada menteri besar. Semua lantikan dan persetujuan adalah kuasa menteri besar.

"Proses ini ambil masa kerana kerajaan masih baru lagi, kita perlu beri ruang kepada semua parti untuk melantik orang yang betul-betul ada pengalaman," katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja ke Manong dekat sini pada Ahad.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini tidak mahu tergesa-gesa dalam perkara itu hanya untuk kepentingan dalaman parti.

Katanya, mereka mahu individu yang dilantik benar-benar berpengalaman dan berupaya memberi nilai tambah kepada pembangunan GLC itu sendiri.

"Kita kena pastikan orang itu boleh membantu GLC, bukannya buat lantikan hanya kerana nak memuaskan hati di peringkat cabang atau bahagian semata-mata," katanya.

Media sebelum ini melaporakan, PH diberikan 65 peratus kuota untuk diisi ketiga-tiga komponen parti bagi semua jawatan lantikan politik di negeri ini dan selebihnya akan diisi BN yang merupakan gabungan di dalam kerajaan negeri.

Pada Februari lepas, kerajaan Perak meluluskan pelantikan 286 ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuat kuasa sehingga 15 Februari tahun hadapan.

Pelantikan atas kuota politik di semua 15 PBT itu membabitkan 215 kalangan ahli majlis lelaki, manakala 71 lagi iaitu 25 peratus adalah wanita.