Setiausaha UMNO Negeri Sembilan tewas di Seremban

Mustafa
Mustafa
A
A
A

SEREMBAN - Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Mustafa Salim gagal mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Seremban dalam pemilihan parti kali ini apabila tewas kepada pencabarnya, Mazalan Maarop.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng itu memperoleh (183 undi) berbanding Mazalan (256 undi).

Penyandang Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Hasim Rusdi berjaya mempertahankan jawatan itu selepas berdepan dua pesaing iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Mohd Helmy Din dan Hanizam Abd Razak bagi bahagian itu.

Begitu juga Datuk Mohd Faizal Ramli berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson dalam pertembungan dengan ADUN Bagan Pinang, Datuk Tun Hairuddin Abu Bakar.

Datuk Ismail Lasim turut terus diberi kepercayaan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah selepas Naib Ketua, Khairolnezam Shaari gagal merebut jawatan itu.

Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Jempol dimenangi ADUN Palong, Mustapha Nagoor yang menewaskan lawannya iaitu, bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin dalam pertembungan dua penjuru.

Beliau memperoleh (309 undi) berbanding Lilah yang memperoleh (180 undi).

Sementara itu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Rembau selepas menang tanpa bertanding.

Ketua Umno Bahagian Jelebu, yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Umno Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Ahli Parlimen Tampin) turut menang tanpa bertanding untuk jawatan masing-masing.