DAP dukacita kenyataan Tun M

Anthony (kanan) pada sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang 2023 yang diadakan di Butterworth Arena pada Ahad.
Anthony (kanan) pada sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang 2023 yang diadakan di Butterworth Arena pada Ahad.
A
A
A

BUTTERWORTH - DAP menempelak tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih lagi memainkan sentimen perkauman dengan menakutkan orang Melayu kononnya Melayu akan hilang kuasa tidak lama lagi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pihaknya amat dukacita dengan kenyataan Tun Mahathir yang tidak mencerminkan statusnya sebagai bekas Perdana Menteri dua kali termasuk ketika bersama Pakatan Harapan (PH) sebelum ini selain dikenali sebagai negarawan.

Menurutnya, Tun Mahathir sepatutnya memainkan peranannya untuk menyatupadukan rakyat namun beliau melihat kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini seperti memecahkan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di negara kita.

"Jadi kita berharap dia boleh memainkan peranannya dengan lebih konstruktif daripada setiap hari mengeluarkan kenyataan yang dilihat bukan sahaja tidak membantu tetapi mengapi-apikan sentimen perkauman.

"Kalau beliau cintakan negara ini sepatutnya gunakan pengaruh beliau yang ada untuk membantu negara, untuk menarik lebih banyak pelaburan untuk negara kita dan menarik banyak minat memajukan negara kita.

"Bukan mainkan sentimen perkauman yang direka...tidak ada sebarang hakikat ataupun keadaan di mana orang Melayu hilang kuasa, Perdana Menteri adalah Melayu...kebanyakan menteri adalah Melayu, kesemuan institusi masih dipegang oleh orang Melayu, Ketua Setiausaha Negara juga Melayu...Jadi dimananya dikatakan orang Melayu hilang kuasa?," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Ahad.

Terdahulu, Anthony Loke hadir ke Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang 2023 yang diadakan di Butterworth Arena di sini.

Hadir sama, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, tindakan Tun Mahathir yang sengaja menakut-nakutkan orang Melayu adalah permainan lama beliau.

Tegasnya, dengan terbentuknya Kerajaan Perpaduan ini beliau seharusnya lebih faham dengan permainan politik yang dilemparkan pihak lawan kepada kerajaan.

Namun kini, tambah beliau, Tun Mahathir masih lagi memainkan sentimen lama untuk memecah belahkan perpaduan.

Sebelum ini media melaporkan kenyataan Tun Mahathir yang memberi amaran bahawa kaum Melayu akan hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali pilihan raya umum (PRU) kelak.

Beliau berkata demikian selepas melihat suasana politik ketika ini yang menurutnya, kekuatan dominan bangsa pribumi tersebut semakin teruk terhakis setelah PRU15 lalu.