Pemuda Pas Selangor tempelak dakwaan Amirudin

Mohamed Sukri (dua dari kanan) ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor Kali Ke-57 di Dewan Al Hafiz di Kota Raja pada Ahad.
Mohamed Sukri (dua dari kanan) ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor Kali Ke-57 di Dewan Al Hafiz di Kota Raja pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Pemuda Pas Selangor menempelak dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyamakan gelombang hijau parti itu dengan gelombang fasis.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menyifatkan dakwaan Menteri Besar itu menggambarkan ketakutan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini

"Ketakutan PH di Selangor dapat dizahirkan melalui ucapan fitnah Menteri Besar dalam Kongres Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyamakan gelombang hijau dengan gelombang fasis.

"Ia merupakan bukti betapa terdesak PH di Selangor sehingga membawa label jahat bagi menakut-nakutkan rakyat.

"PH wajib dikuburkan dalam PRN akan datang, hakikatnya PH saban hari menguburkan demokrasi dan kebebasan bersuara di dalam negara serta bertindak seolah-olah kerajaan kuku besi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor Kali Ke-57 di Dewan Al Hafiz di Kota Raja di sini pada Ahad.

Mohamed Sukri menambah, Pemuda Pas Selangor turut menggesa agar Menteri Besar bercuti sementara siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu projek rundingan terus RM700 juta Sungai Klang masih berjalan.

"Kami juga bersedia pada bila-bila masa bersama-sama barisan pemimpin politik, para pemimpin masyarakat dan dengan sokongan rakyat seluruhnya akan mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan kini dipimpin kerajaan yang gagal membawa aspirasi rakyat dalam pentadbiran.

"Kepimpinan negara hari ini telah memungkiri harapan rakyat dengan mengangkat pemimpin politik yang kini dalam pertuduhan kes rasuah dalam barisan jemaah menteri," tambahnya.

Selain itu, beliau mendakwa, kerajaan turut mengenakan pendakwaan terpilih terhadap pemimpin pembangkang, mengekang kebebasan suara dan melakukan intimidasi politik terhadap anak-anak muda yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

"Kerajaan juga mengambil mudah soal kebejatan masalah sosial serta keterukan agenda liberalisme dan pluralisme agama yang semakin mengakar dalam masyarakat," ujarnya.

Dalam pada itu, Pemuda Pas Selangor kini bersedia sepenuhnya membantu memenangkan Pas dan PN dalam PRN Selangor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Pemuda Pas Selangor akan mengetengahkan calon-calon muda berkaliber dan berpotensi menang dan akan menggembleng kekuatan jentera pemuda Pas sehingga mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

"Kami berkeyakinan bahawa PH dapat ditumbangkan di Selangor dengan mengambil kira sokongan rakyat yang ampuh terhadap PN dan kelemahan PH dalam pentadbiran negeri Selangor terutama dalam membela kebajikan rakyat," katanya.

Ahmad Fadhli (enam kiri) bergambar bersama peserta Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor di Dewan Al Hafiz di Kota Raja.
Ahmad Fadhli (enam kiri) bergambar bersama peserta Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor di Dewan Al Hafiz di Kota Raja.


RUU355: PM cuba alih perhatian rakyat - Pemuda Pas

Pemuda Pas mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mengalihkan perhatian rakyat dalam isu pelaksanaan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355).

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perdana Menteri cuba menggunakan isu tersebut bagi mengalih perhatian dan mengelak daripada dipersoalkan tentang ketelusan dalam pentadbiran beliau ketika ini.

"Ia termasuk melantik anggota pentadbiran terdiri daripada mereka yang didakwa di mahkamah dan hendak lari dari isu itu (beliau) cuba bawa tentang RUU355 dan saya fikir rakyat sudah cerdik untuk menilai muslihat politik ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor di Dewan Al Hafiz di Kota Raja yang turut dihadiri Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar pada Ahad.

Ahmad Fadhli menambah, RUU355 tidak wajar dipolitikkan dan kerajaan sekarang perlu meneruskan pelaksanaan dengan membawanya ke Parlimen untuk diluluskan.

“Yang telah dimaklumkan pada kita RUU355 sudah ada MOM (Memorandum Jemaah Menteri) untuk dibentangkan dan sudah di peringkat akhir, tinggal lagi kerajaan yang ada pada hari ini sambung sedikit sahaja untuk dibentangkan dalam Parlimen dan kami akan sokong sebulat suara.

“Sudah tentu untuk undang-undang itu mempunyai proses dan progresnya tersendiri, jadi saya sentiasa bertanya setiap kali sidang Parlimen dan dijawab oleh menteri dan timbalan menteri berkaitan agama, perkara itu sedang dalam proses tersendiri, tidak boleh dilaksanakan secara overnight,” katanya.

Pada Sabtu, Anwar dalam ucapannya pada Kongres Nasional Khas 2023 Parti Keadilan Rakyat (PKR) membangkitkan peranan pimpinan Pas untuk membawa pindaan tersebut ketika mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar memaklumkan, RUU355 sedang dalam proses penyediaan kertas Jemaah Menteri untuk dibawa ke Mesyuarat Kabinet.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menggesa kerajaan supaya tidak melengah-lengahkan lagi proses untuk mendapatkan kelulusan Kabinet untuk dibawa ke Parlimen dan diluluskan.