Noor Hariri Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas baharu

Noor Hariri
Noor Hariri
A
A
A

PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohd Nor dipilih menerajui UMNO Bahagian Pasir Mas selepas menang jawatan itu pada pemilihan yang berlangsung pada Sabtu.

Noor Hariri atau lebih dikenali sebagai Abe menang 'bergaya' menewaskan tiga pencabarnya, Datuk Ab Ghani Harun, Datuk Yahya Mamat dan Datuk Mustaman Che Yusof.

Noor Hariri berkata, beliau tekad mengembalikan keyakinan anak muda dan golongan perantau untuk kembali menyokong parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

"Saya akan duduk semeja dengan saf kempimpinan baharu UMNO Bahagian Pasir Mas dalam merangka strategi bagi menawan semula sokongan anak muda dan perantau.

"Selain itu saya akan turut memberikan fokus untuk menghapuskan sifat berpuak-puak yang boleh merugikan UMNO.

"Saya mahu semua ahli diperingkat akar umbi kembali bersatu bagi memastikan UMNO Bahagian Pasir Mas kembali kuat seperti dahulu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, Noor Hariri menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan yang telah memberi mandat kepadanya untuk memimpin Bahagian Pasir Mas.

Ujarnya, kemenangan yang diperolehi itu adalah hasil sokongan ahli UMNO.

"Kemenangan ini tidak sedikitpun mengubah pandangan hormat saya kepada mereka yang berlawan pada pemilihan lalu," katanya.