Mohd Razlan menang Ketua UMNO Bahagian Seputeh

Mohd Razlan - Foto fail Bernama
Mohd Razlan - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Seputeh menewaskan penyandangnya, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff dalam pemilihan UMNO bagi sesi 2023-2026 pada Sabtu.

Mohd Razlan memberitahu, keputusan tersebut memihak kepadanya dengan majoriti 206 berbanding 52 undi yang diperoleh Mustapa Kamal.

“Ini adalah satu tanggungjawab yang besar untuk kita memastikan UMNO ini memberi impak dari sudut keputusan parti selepas 18 Mac ini.

“Jadi kita mengharapkan semua perkara-perkara hitam disebabkan oleh ketidakstabilan dan ketidaksetiaan pemimpin-pemimpin parti semasa musim penggal ke-14 itu tidak berulang.

“Ini untuk memastikan UMNO ini dapat kita garap semula kesetiaannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Persaingan merebut jawatan dalam Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 bermula selepas tempoh pendaftaran calon ditutup secara rasmi pada jam 26 Februari lalu.

Selepas selesai pemilihan sayap pada Sabtu lalu, UMNO bakal menyaksikan kemuncak pemilihan pemimpin yang bakal merebut jawatan Naib Presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Pemilihan UMNO berakhir pada Sabtu dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan ahli MKT UMNO.