Ahmad Zahid pertahan jawatan Ketua UMNO Bagan Datuk

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

BAGAN DATUK - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk apabila beliau diumum menang tanpa bertanding pada pemilihan bahagian itu pada Sabtu.

Seramai 424 perwakilan hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini.

Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, beliau sedia melepaskan jawatan dalam parti apabila perlu berbuat demikian dan terdapat calon yang sesuai untuk menggantikannya.

"Saya pasti akan melepaskan jawatan saya apabila saya rasa saya perlu melepaskan, bila ada orang saya yakini boleh mengambil alih tempat (saya).

"Saya tidak akan pernah menongkat langit dan akan serahkan jawatan Ketua Bahagian dan Presiden UMNO kepada orang yang saya rasa boleh kuatkan parti kita," katanya.

Beliau berkata, ahli UMNO terutama anak muda wajar diberi peluang untuk menggantikan kepimpinan parti itu.

Ahmad Zahid juga berkata, beliau memaafkan pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya secara terbuka namun memberi amaran akan mengambil tindakan jika ada yang menjadi gunting dalam lipatan.

"Kita bina pasukan baharu. Kita tidak mahu ada kabilah-kabilah dalam kalangan kita... dengan penyatuan dan pemerkasaan, UMNO akan memuncak serta mendapat sokongan daripada rakyat," katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad pula terus diberikan mandat untuk menerajui kepimpinan parti Bahagian Lenggong apabila memenangi jawatan Ketua UMNO bahagian itu tanpa bertanding. - Bernama