Presiden Singapura lawat Malaysia minggu depan

Halimah Yacob - Foto Reuters
Halimah Yacob - Foto Reuters
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Singapura, Halimah Yacob akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula Isnin hingga 22 Mac.

Ini adalah lawatan balas Presiden Singapura itu selepas merima undangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengunjungi Singapura pada Oktober 2022.

Presiden akan ditemani suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee.

Beliau akan diberikan Sambutan Negara di Istana Negara dan menghadap Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Kementerian Luar Singapura memaklumkan, Seri Paduka dan Presiden akan menanam Pokok Gelam (Melaleuca cajuputi) di halaman Istana.

Halimah dan suaminya juga akan menyaksikan upacara menamakan orkid kacukan baharu - Vanda Halimah Yacob Mohamed sebagai penghormatan kepada pemimpin itu.

"Ini adalah kali pertama Majlis Menanam Pokok dan Majlis Penamaan Orkid dimasukkan ke dalam Lawatan Negara ke Malaysia," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang disediakan Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini hari ini.

Baginda juga berkenan meraikan Presiden dan menganjurkan Majlis Jamuan Negara.

Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, Halimah juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Atas kapasiti sebagai Canselor Universiti Kebangsaan Singapura, beliau juga akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang merupakan Canselor Universiti Malaya.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan meraikan Halimah, yang juga Penaung Pandu Puteri Singapura, sempena kunjungan beliau ke Persatuan Pandu Puteri Malaysia

Menurut kenyataan itu, Presiden juga akan bertemu dengan ahli perniagaan Singapura dan Malaysia selain menghadiri majlis resepsi yang dianjurkan untuk warga Singapura yang berada di Malaysia.

Beliau akan diiringi Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Hal Ehwal Luar merangkap Pendidikan, Dr Maliki Osman; Menteri Perdagangan & Industri dan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Low Yen Ling, serta Ahli Parlimen Murali Pillai, Xie Yao Quan dan Yeo Wan Ling. - Bernama