'Sudah sampai masa lakukan perubahan' - TMJ

Tunku Ismail (tengah) berkenan menyaksikan perasmian Projek Penggantian Rumput Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Sabtu, yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Mohd Faidz Sanusi. Foto Bernama
Tunku Ismail (tengah) berkenan menyaksikan perasmian Projek Penggantian Rumput Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Sabtu, yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Mohd Faidz Sanusi. Foto Bernama
A
A
A

KELAB dan pasukan bola sepak di negara ini perlu bertindak melakukan perubahan dengan menukar padang di setiap stadium daripada jenis 'cow grass' kepada Zeon Zoysia.

Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kelab tidak boleh kedekut untuk mengeluarkan kos penyelenggaraan apatah lagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menawarkan peruntukan untuk menaik taraf rumput di setiap stadium negeri.

Menurutnya, padang yang berkualiti akan membantu meningkatkan prestasi seseorang pemain selain turut sama akan memberikan kesan positif kepada pasukan negara.

"Padang yang bagus akan beri kemudahan kepada setiap pemain untuk mereka mendorong potensi penuh dalam permainan.

"Ia sekali gus akan turut memberikan impak kepada pasukan kebangsaan. Bukan sahaja kepada pasukan kebangsaan tetapi kepada mana-mana pasukan yang ada inisiatif yang sama untuk tukar rumput tersebut.

"Apa yang KBS tawarkan adalah sangat baik dan perlu disambut oleh setiap kelab dalam negara. Ia secara tidak langsung akan beri penambahbaikkan kepada setiap pasukan dan kesan domino kepada pasukan kebangsaan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian projek penggantian rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Tunku Ismail turut mengulas mengenai keengganan sesetengah pasukan untuk mengambil berat soal penukaran rumput tersebut sebaliknya lebih gemar berbelanja kepada perkara yang tidak perlu.

"Ada pasukan berbelanja untuk tempat duduk Recaro dan pemain import. Tetapi, perkara paling penting dalam bola sepak adalah padang.

"Mungkin mereka tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak atau mungkin mereka tidak ada semangat atau ada agenda jangka panjang lain.

"Kalau kita tengok di negara yang maju dalam bola sepak, mereka memberikan keutamaan kepada padang dulu. Kerana padang itu mencerminkan pengurusan sesebuah pasukan.

"Saya pun tidak faham dan kadang-kadang tertanya-tanya juga. Tetapi, sekarang masa untuk berubah. Sampai bila lagi kita nak macam ini?," katanya.

Mengulas mengenai proses penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil, Tunku Ismail menjelaskan, ia adalah perancangan jangka panjang dalam usaha menyediakan rumput berkualiti di stadium tersebut.

"Apa yang mustahak adalah kita beri masa terhadap perkembangan positif yang akan berlaku kerana ia bukan hanya sekadar tukar rumput, tetapi juga untuk sistem saliran dan sebagainya.

"Kalau makan masa lebih itu, saya tidak boleh jamin sebab saya bukan kontraktor. Tetapi, kalau kita lihat dari sudut positif, tiada masalah kerana agenda kami pun adalah untuk jangka masa panjang meningkatkan kualiti padang," ujarnya.

Projek penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil akan menggunakan peruntukan rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang berjumlah RM2.3 juta serta sumbangan tajaan yang dikurniakan oleh Tunku Ismail.

Ia dijadualkan bermula pada bulan depan dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober depan.