PRN: UMNO susun gerak kerja selepas pemilihan parti selesai

Mohamad ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau Tahun 2023 pada Sabtu
Mohamad ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau Tahun 2023 pada Sabtu
A
A
A

SEREMBAN - UMNO akan menyusun gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebaik saja proses pemilihan parti itu selesai.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana berlaku beberapa perubahan kepimpinan di peringkat akar umbi khususnya di peringkat sayap Pemuda dan Puteri.

"Rata-rata di setiap bahagian, lebih 70 peratus Ketua dan Naib Ketua serta barisan jawatankuasa sayap parti itu adalah baharu kerana pemilihan parti 2018 tertangguh sehingga 2023 selain dalam tempoh lima tahun itu ramai sudah cukup umur.

"Jadi kita tunggu dulu keputusan pemilihan pucuk pimpinan setiap bahagian hari ini (Sabtu) dan apabila pimpinan bahagian telah disusun, kita akan panggil mesyuarat perhubungan negeri untuk menyusun gerak kerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau Tahun 2023 pada Sabtu.

Menurutnya, kepimpinan baharu Pemuda dan Puteri juga perlu diberi latihan dan intensif kerana mereka memainkan tenaga kerja penting di peringkat cawangan dan akar umbi.

Sementara itu, Mohamad yang merupakan Pengarah Pilihan Raya UMNO menjangkakan selepas pemilihan parti itu, beberapa pengerusi perhubungan negeri baharu akan dilantik.

“Kita baharu duduk di peringkat jawatankuasa induk dan telah pun melantik, jadi selepas ini nanti, pengerusi perhubungan (negeri) baharu pun banyak yang akan dilantik baharu, terpulang kepada presiden untuk menentukannya nanti.

“Tetapi sebagai Pengarah Pilihan Raya saya telah mengadakan mesyuarat dan memanggil semua pengerusi perhubungan untuk menggerakkan jentera di peringkat BN terlebih dahulu untuk siap sedia menghadapi PRN di enam buah negeri ini,” ujarnya.