Kecoh Tajuddin dihalang masuk mesyuarat UMNO

Tajuddin (dua dari kiri) dihalang masuk mengikuti perjalanan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak. Foto: ihsan pembaca
Tajuddin (dua dari kiri) dihalang masuk mengikuti perjalanan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak. Foto: ihsan pembaca
A
A
A

PASIR SALAK - Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak berlaku sedikit kekecohan apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dihalang memasuki Dewan Besar Bandar Baru Felda Seberang Perak di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga mantan Ketua UMNO Bahagian itu hadir sekitar jam 9.50 pagi sebelum dihalang oleh petugas keselamatan di pintu pagar utama dewan berkenaan.

Difahamkan Tajuddin yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu tidak dibenarkan masuk atas faktor keahliannya sebagai ahli parti itu telah digantung.

Sementara itu, Tajuddin ketika dihubungi berasa kesal apabila tidak dibenarkan untuk mengikuti perjalanan mesyuarat berkenaan.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai sombong dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Saya sayang UMNO, saya setia. 50 tahun dalam UMNO.

"Sombong... mantan KB (ketua bahagian) pun dihalang masuk. Tidak pernah berlaku, tiada alasan diberikan mereka," katanya.

Pada pemilihan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, anak sulung beliau, Dr Faizal Tajuddin bertanding menentang bekas pemangku ketua bahagian itu, Khairul Azwan Harun.

Minggu lalu, anak perempuan Tajuddin, Datin Sri Rahayu dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak baharu menewaskan penyandangnya, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Laporan media Oktober lalu, Tajuddin yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak digantung keahliannya selama enam tahun selain dipecat daripada MKT UMNO.