UMNO Pulau Pinang belum bincang pembahagian kerusi dengan PH

Musa Sheikh Fadzir
Musa Sheikh Fadzir
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] UMNO Pulau Pinang belum berbincang mengenai pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan beberapa bulan lagi.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang selepas Pemilihan UMNO selesai.

Beliau turut mengesahkan bahawa UMNO akan bertanding di atas kerusi Barisan Nasional (BN) dalam PRN nanti.

"Mengenai PRN, insya-ALLAH kita akan bertanding di atas kerusi BN, ini atas semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan. Bagaimanapun, sehingga kini, perbincangan mengenai pembahagian kerusi belum dibuat.

"UMNO akan ada kerusi tetapi berapa (kerusi) tu, belum bincang lagi, kita akan maklumkan kemudian.

"Arahan dari Pusat untuk kita bincang sudah diterima, mungkin lepas ini (Pemilihan UMNO) kita akan bincang," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Permatang Pauh pada Sabtu.

Musa bagaimanapun berkata, pihaknya akan bincang 15 kerusi majoriti Melayu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dahulu.

"Yang lain, kita akan bincang dalam pusingan kedua," katanya.

Kata Musa lagi, UMNO tidak akan bertanding di atas tiket PH kerana parti itu bukan bergabung dengan PH sebaliknya hanya bekerjasama untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

"Kita bertanding atas tiket BN dan tidak bertanding atas tiket PH kerana kita hanya bekerjasama untuk tubuh Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat bagi menstabilkan ekonomi dan tidak mahu ada kucar kacir dalam negara.

"Tetapi soal parti kita tak bergabung dengan PH, soal kerjasama tu adalah, kalau nak lawan tiga penjuru semua akan kalah. Kerjasama ini hanya untuk pilihan raya dan hanya satu tolak ansur kerana mahu tubuh kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Musa berkata, hanya empat UMNO bahagian iaitu Tasek Gelugor, Batu Kawan, Nibong Tebal dan Balik Pulau yang bertanding yang menyaksikan pertandingan antara dua hingga tiga penjuru.

Katanya, sembilan bahagian lagi tidak dipertandingkan apabila kesemua ketuanya berjaya mempertahankan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi sesi 2023 hingga 2026.

"Seramai 10 orang termasuk ketua-ketua bahagian UMNO di empat bahagian tersebut menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan tersebut.

"Bagi Tasek Gelugor, Ketua Bahagian UMNO Datuk Mohd Yusoff Mohd Noor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, ditentang timbalannya Datuk Ibrahim Romli dan bekas ADUN Permatang Berangan, Omar Abd Hamid. Untuk Batu Kawan, penyandangnya Datuk Mohd Noor Ahmad akan berdepan dengan timbalannya, Mohamad Hilmie Ibrahim.

"Sementara untuk Nibong Tebal, ada tiga penjuru iaitu antara Ketua Bahagian Nibong Tebal, Datuk Syafie Kassim, Timbalan Ketua Bahagian, Rashidi Zainol dan bekas ADUN Sungai Bakap, Datuk Mohd Foad Mat Isa,” katanya.

Sementara itu, beliau menambah, untuk bahagian UMNO Balik Pulau, pertandingan antara Ketua Bahagian, Datuk Shah Headan Ayoob Shah dan bekas ADUN Pulau Betong, Datuk Muhammad Farid Saad.

Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda serta Puteri Cawangan ialah dari 1 hingga 26 Februari ini.