KPDN tumpaskan aktiviti seleweng diesel bersubsidi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel disyaki bersubsidi sebanyak 15,000 liter bernilai RM32,250 di sebuah premis di Rantau dekat sini pada Jumaat

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam serbuan menerusi Op Tiris kira-kira jaml 6 petang itu, pihaknya turut menyita sebuah lori, lori tangki dan peralatan digunakan untuk aktiviti itu dengan keseluruhan nilai rampasan bagi kes terbabit ialah RM98,950.

"Pemeriksaan menyeluruh terhadap premis itu mendapati terdapat aktiviti pemindahan minyak diesel dijalankan dengan individu ditemukan di premis tersebut tidak mempunyai sebarang lesen atau permit khas atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan untuk berurusan dengan Barangan Kawalan Berjadual,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, susulan itu, dua lelaki warga tempatan masing-masing berumur 50 dan 52 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Muhammad Zahir berkata, KPDN negeri giat melaksanakan pemeriksaan dan Op Tiris bagi memastikan isu penyelewengan dan ketirisan minyak diesel bersubsidi dibendung seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap individu atau syarikat yang tidak bertanggungjawab. - Bernama